Showing posts with label info Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label info Ekonomi. Show all posts

Hukum puasa sunat pada hari Jumaat


Di dalam mahzab Syafie, hukum berpuasa sunat pada hari Jumaat tanpa disertakan puasa sunat pada hari Khamis atau tidak disertakan puasa sunat pada hari Sabtu adalah makruh.

Dari Muhammad bin Abbad bin Ja’far, “Aku pernah bertanya kepada Jabir: Adakah Nabi melarang berpuasa sunat pada hari Jumaat ? Jabir menjawab: Ya." (HR Muslim).

Dari Juwairiah, “Bahawa Rasulullah SAW masuk kepada saya pada hari Jumaat sedang saya berpuasa. Maka sabdanya: “Adakah engkau sudah berpuasa kelmarin? Saya menjawab: Tidak. Sabdanya: Adakah engkau akan berpuasa esok? Saya menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Hendaklah engkau berbuka.” (HR Bukhari)

Nabi bersabda, “Hari Jumaat itu adalah hari Eid (hari raya), maka janganlah jadikan Eid kamu itu sebagai hari kamu berpuasa, kecuali kamu berpuasa sebelumnya atau sesudahnya.” (HR Ahmad)

Dari Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu berpuasa pada Jumaat, kecuali bersama satu hari sebelumnya atau satu hari sesudahnya". (HR Muslim).

Kisah Bagaimana Allah Memberi Rezaki Ular Buta

Diceritakan oleh Syeikh Malik bin Dinar bahawa ketika beliau sedang makan di dalam rumah, tiba-tiba beliau terpandang seekor kucing datang meluru ke arahnya. Lantas mengambil seketul daging dari pinggannya lalu melarikan diri.

Beliau terperanjat melihatkan yang demikian. Walau bagaimana pun beliau terus bangun lalu mengikut dari belakang ke manakah si kucing tadi membawa seketul daging tersebut. Rupa-rupanya si kucing berlari sambil menggigit seketul daging menuju ke sebuah lubang. BIla sampai di depan lubang tersebut si kucing pun mencampakkan daging yang digigitnya itu. Lalu berundur sedikit ke belakang.

Tidak lama kemudian rupa-rupanya keluar seekor ular yang buta kedua matanya lalu memakan daging tersebut.

Begitulah Allah SWT memberi rezeki kepada sekalian makhluk-Nya.

Fakta Tentang: Kehidupan Umat islam Di Kemboja.

Oleh UstazYahya Al-Amin Al-hafiz ( UstazCambodia )
 
Selepas kejatuhan Rajim Polpot tahun 1979 Rakyat kemboja hanya tinggal sehalai kain saja, mereka berusaha untuk meneruskan kehidupan mereka sampai ke hari ini dengan sedaya upayanya, tapi walaubagaimana pun FAKTA kehidupan umat islam di kemboja seperti saya terangkan di bawah:

sebahagian besar orang Melayu Kemboja hidup dalam keadaan
miskin dengan purata pendapatan harian antara RM5-RM10, Mereka bekerja sebagai nelayan petani atau peniaga kecil.

Keadaan yang menghimpit itu telah mendorong sebahagian di kalangan anak-anak muda Melayu Kemboja berhijrah ke Malaysia dan beberapa negara lain.

Keadaan semakin menghimpit apabila barangan keperluan asas seperti minyak petrol, minyak masak, gula, susu pekat dan ikan amat mahal jika dibandingkan dengan pendapatan yang mereka perolehi.

Bayangkan harga minyak petrol di Kemboja pada hari ini adalah 5,300 rial (RM5) seliter, minyak masak 8,000 rial (RM8) sekilogram, susu pekat kecil 3,000 rial (RM3) setin ayam kampung 18,000 (RM16)sekilogram, ayam daging 13,000 (10) sekilogram, dan ikan 10,000 rial (RM10) sekilogram.

ITULAH HAKIKATNYA KEHIDUPAN UMAT ISLAM DI KEMBOJA

Tentang Makanan Daging? keadaan mereka di Sana lagi menyedihkan, umat islam di sana sangat kurang daging,

Kebanyakan Mereka Tak Dapat Makan Daging,Kerana Daging Disana Amat Mahal, Sekilo Rm26 Mata Wang Disana Sama Dengan 29ribu Rial, 29 Ribu Rial Itu Bagi Orang Kemboja Nilainya Sangat Tinggi, Kadang-Kadang Sebahgian Mereka Tak Dapat Cari 29ribu Riel Itu Dalam Masa Sebulan,

oleh itu mereka hanya akan dapat makan / merasai daging itu di musim qurban saja, itu pun jika ada insan-insan yang bermurah hati untuk berqurban disana.

mereka selalu mengharapkan ehsan dari orang malaysia, bila ada ustaz-ustaz balik dari malaysia mereka akan bertanya tentang korban, termasuk saya sendiri.

sebab orang malaysia di kenal memang baik hati dan banyak bersedakah, kebanyakan bantuan-bantuan seperti pembinaan masjid, sekolah dan lain-lain memang datang dari malaysia termasuklah korban / aqiqah.
oleh itu saya sangat berharap bahawa kita teruskan amalan yang baik ini sampai bila-bila selagimana kita mampu untuk melakukan nya.

saya bagi pehak orang kemboja mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat malaysia yang telah melaksanakan ibadah korban ke kemboja, melalui saya / melalui ustaz-ustaz lain, moga-moga di murahkan rezaki dan di panjangkan umur oleh allah swt.

Bantulah mereka, Mereka Saudara kita, Mereka Sentiasa Mengharapkan Ehsan Dari kita...

Nabi Muhamad SAW Bersabda Maksudnya:
Perumpamaan Orang Mukmin Tentang Kasih Sayang Sesama Mereka Adalah Ibarat Satu Tubuh, Apabila Salah Satu Anggota Sakit, Maka akan terasalah Seluruh Tubuhnya. Hadis...
Allah SWT telah berfirman:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
OLEH ITU SAYA SANGAT BERHARAP KITA SEMUA TOLONG WAR-WARKAN, PALING TIDAK PUN TOLONGLAH SHARE KAN PADA FACEBOOK KITA / PADA KAWAN KITA, DENGAN ITU KITA SAMA-SAMA AKAN MENDAPAT PAHALA DISISI ALLAH s.w.t..

Ikhlas Untuk Membantu: Sumber: UstazCambodia

Huraian Lengkap Tentang Zakat


amai umat Islam yang masih keliru tentang kewajipan zakat fitrah, bukan keliru status hukumnya, tetapi bagaimana melaksanakannya. Inilah antara Q&A yang diharap mampu menjelaskan kekeliruan itu. Selamat membaca.

Soalan 1: Apakah makna zakat fitrah dan siapakah yang diwajibkan ke atasnya?

Jawapan: Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya.

Dalilnya, Abu Hurairah r.a menyatakan: “Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin,” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah. Amalan di Malaysia, zakat fitrah ini dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian.” (Hadis riwayat Imam Baihaqi).

2. Bagaimana dengan anak angkat, anak yatim dan anak tiri?

Jawapan: Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya lagi.

Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandungnya.

Andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya. Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya.

Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu.

3. Adakah anak-anak perempuan yang sudah bekerja dikira masih tanggungan bapanya?

Jawapan: Anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan, maka mereka lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh, dan mereka perlu memaklumkannya kepada ibu bapa.

4. Bagaimana pula dengan waktu menunaikan zakat fitrah?

Jawapan: Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya satu Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: “Telah mewajibkan Rasulullah saw zakat fitrah pada bulan Ramadan.”

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal.

Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

5. Apakah yang perlu dilakukan jika terlupa menunaikannya?

Jawapan: Islam telah menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa bila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh.

Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada Allah SWT yang menentukannya.

Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini.

6. Ada orang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya?

Jawapan: Menunaikan zakat fitrah adalah wajib dan berpuasa juga wajib, maka mengabaikannya adalah berdosa. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: “Rasulullah saw telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri,” (Riwayat Bukari dan Muslim).

Ulamak fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran, na’uzubillah.

7. Adakah orang miskin juga wajib membayar zakat fitrah?

Jawapan: Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga.

8. Ada orang mahu membayar zakat fitrah dengan beras bukan wang, apa komen ustaz?

Jawapan: Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang). Pada zaman Umar bin Abdul Aziz r.a, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

9. Ada orang berkata, jika tidak keluarkan zakat fitrah maka pahala puasa akan tergantung. Benarkah?

Jawapan: Terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: “(Ibadah) bulan Ramadhan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah,” (Riwayat Ibn Asakir). Tetapi, para ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, kerana ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan.

Bagi saya, fokuskan untuk melaksanakan setiap ibadah, sama ada solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Setelah ia ditunaikan dengan sempurna dan sah, maka serahlah kepada Allah SWT, sama ada mahu menerima atau menolaknya.

10. Adakah zakat fitrah hanya untuk fakir miskin sahaja?

Jawapan: Hal ini adalah khilaf dalam kalangan ahli fikah. Sebahagian menyatakan ia hanya untuk fakir dan miskin dan sebahagian yang lain menyatakan, zakat fitrah juga sama seperti zakat harta dan lapan asnaf masih boleh menikmatinya.

Malahan ada ulama’ yang menyatakan seorang kafir zimmi di dalam Negara Islam juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190.

11. Apakah majikan wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya?

Jawapan: Majikan tidak wajib, kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahinya. Pembantu itu ada gajinya sendiri dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya.

12. Apakah anak yang lahir pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadan wajib zakat fitrah juga?

Jawapan: Tidak wajib, kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja. Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat.

13. Apakah anak yang dikandung sudah cukup bulan tapi belum lahir hingga masuk Syawal wajib zakat juga?

Jawapan: Tidak wajib, Cuma sunat muakkad sahaja. Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusuf al- Qaradawi, di dalam kitabnya, Hukum Zakat.

Soalan 14: Adakah seorang muallaf (saudara baru) juga wajib bayar zakat fitrah?

Jawapan: Jika muallaf itu masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya.

Soalan 15: Bolehkah ustaz jelaskan hikmah zakat fitrah?

Jawapan: Pertama, zakat fitrah menjamin kegembiraan kepada penerimanya, seperti mana nabi menjanjikan dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka (termasuk berhari raya) dan ketika menatap wajah Allah (hadis Muslim). Maka, bagaimana orang miskin boleh gembira jika tiada bantuan di hari raya.

Kedua, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ketiga, membersihkan orang yang berpuasa daripada dosa. Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Keempat, menjadi bukti ketaatan manusia beriman kepada Allah SWT. Ini kerana, jika mereka berpuasa tetapi enggan berzakat, maka jelaslah kualiti keimanannya di tahap mana?

Kelima, zakat fitrah itu menjadi kemuncak kepada amalan di bulan Ramadan, yakni berkongsi sedikit kekayaan. Andai jumlah RM7 itu masih dipertikaikan, maka bagaimana pula seseorang itu mampu berkongsi sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya dengan orang lain.

Soalan 16: Apakah boleh kita menunaikan zakat harta selain fitrah di bulan Ramadan?

Jawapan: Memang boleh bahkan dianjurkan sangat-sangat. Ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi, bahawa setiap amalan sunat dalam bulan Ramadan diganjari pahala wajib dan satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya.

Maka, andai kita berzakat RM1 ribu, maka pahalanya seolah-olah kita sudah berzakat RM70 ribu! Orang yang haul zakatnya belum tiba, boleh berniat mendahului haul zakat dan di sisi Islam, ia memang diharuskan.

Soalan 17: Soalan terakhir saya, kenapakah kadar zakat fitrah di Malaysia berbeza-beza antara setiap negeri?

Jawapan: Panjang jawapannya, namun ringkasnya saya boleh katakan, ada dua sebab kenapa berbeza. Pertama, pentadbiran zakat di Malaysia adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwanya sendiri yang akan memutuskan harga zakat fitrah yang sesuai di negeri masing-masing. Pengasingan kuasa ini telah digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu di dalam Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri.

Kedua, boleh jadi harga sekilogram beras adalah berbeza antara negeri-negeri. Ada negeri yang agak mahal, ada yang agak murah dan ia adalah sesuai dengan kondisi sosio-ekonomi rakyat negeri berkenaan. Maka, harga zakat fitrah di Selangor adalah sesuai dengan harga beras di Selangor (yakni RM7.00). Manakala di negeri lain, sesuailah dengan negeri mereka pula. Wallahua’lam.

Ustaz Hamizul Abdul Hamid ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Adakah Bisnes Forex Trading Haram...?


KUMPULAN PERTAMA

Hasil daripada kajian kumpulan pengkaji pertama yang dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Bin Som, Dr. Marjan Muhammad, Ust Luqmanul Hakim Hussain, En. Wan Norhaziki Wan Abdul Halim. Kesimpulan mereka mencatatkan seperti berikut :-

1. Spot forex yang dijalankan oleh individu melalui platform internet agak berbeza daripada konsep spot forex yang dijalankan di peringkat inter-bank. Dari satu sudut, ia dibuat berdasarkan spot forex dari segi harga lani (value spot), tetapi dari segi penyelesaian ia tidak berlaku berdasarkan T+2. Malah penyelesaian tidak akan berlaku selagi pedagang tidak menutup posisi yang dibukanya.

Namun, dari sudut yang lain, spot forex dilihat lebih mirip kepada forward forex, kerana apabila pedagang membeli sesuatu matawang daripada broker, beliau tidak akan dapat memiliki matawang yang dibelinya. Sebaliknya, pedagang akan menikmatinya setelah beliau menjualnya semula kepada broker pada waktu hadapan. Apa yang membezakan spot forex oleh individu dengan forward forex ialah kadar tukaran matawang masa hadapan adalah tetap iaitu kadar yang dipersetujui pada tarikh transaksi, manakala kadar tukaran matawang dalam spot forex tidak tetap, tetapi berdasarkan turun naik harga pasaran matawang yang didagangkan.

2. Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah. Malah, terdapat peruntukan perundangan yang jelas berhubung larangan tersebut, iaitu melalui Seksyen 3(1) dan Seksyen 4(1),(2) dan (3) Akta Kawalan Pertukaran

Wang (AKPW) 1953. Mana-mana individu dilarang sama sekali berurus niaga matawang asing, kecuali setelah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Asing, iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia.

3. Berdasarkan beberapa isu syariah yang diketengahkan termasuk isu qard = leverage, riba al-nasi’ah = rollover interest, qabd, menjual matawang yang tiada dalam pegangan (qabd) dan spekulasi yang melibatkan perjudian, ternyata operasi spot forex secara online oleh individu adalah tidak mengikut landasan syarak yang telah digariskan berhubung jualbeli matawang (bay‘ alSarf).”

KUMPULAN KEDUA

Manakala satu kumpulan lagi datangnya dari Universiti Utara Malaysia yang dianggotai oleh Prof. Madya Dr Asmadi Mohd Naim, Dr. Hasniza Mohd Taib, Dr. Muhammad Nasri Hussain. Kertas mereka menyimpulkan seperti berikut :-

“Berdasarkan perbincangan di atas, perdagangan forex online adalah tidak dibenarkan oleh Syarak kerana adanya perkara-perkara yang menyalahi Syarak iaitu.

i. Pembelian wang tunai dilakukan secara kredit adalah terang-terangan bertentangan dengan kontrak Sarf dan mengandungi unsur riba.

ii. Sekiranya pembelian kredit itu ditakyifkan sebagai pemberian pinjaman oleh broker, perkara tersebut masih termasuk dalam aktiviti yang dilarangkan oleh Syarak kerana mengandungi unsur mendapat manfaat dari pinjaman, dan larangan mengumpulkan ‘pinjaman’ dan jual-beli’.

iii. Menjual matawang secara menangguhkan penyerahan adalah dilarang oleh Syarak. Syarat qabd dalam majlis tidak wujud di dalam transaksi ini. Keharusan melewatkan penyerahan (qabd) tidak boleh diaplikasi dalam urusniaga ini kerana tidak termasuk di dalam konsep ‘darurat’ bagi transaksi ‘bonafide’.

iv. Urusniaga broker secara online ini mengandungi unsur bay’ al-najsy iaitu peniaga menawarkan harga bukan untuk memiliki matawang sebaliknya untuk memberi faedah kepada penjual melalui kenaikan harga.

v. Urusniaga ini juga mengandungi ihtikar yang dilarang oleh Syarak.

vi. Urusniaga ini juga mengandungi unsur perjudian yang bergantung kepada turun naik harga atau angka.”

KESIMPULAN

Secara dasarnya, hampir kesemua kesimpulan yang dibuat oleh kedua-dua kumpulan adalah sama dengan kesimpulan yang telah simpulkan oleh Ustaz Zaharuddin sejak tahun 2008 yang lalu iaitu haram, dengan itu, semua pedagang matawang yang tidak berpuas hati dan menolak pandangan yang mengharamkan pedagangan matawang ini diseru untuk berfikir kembali demi kebaikan iman dan pendapatan masing-masing.

Koleksi Gambar Wang Kertas RM Baru 2012...

Dikhabarkan pihak Bank Negara akan mula mengeluarkan siri wang kertas baru pada tahun ini. Wang kertas ni dijangka akan dikeluarkan oleh Bank Negara mulai 17 Julai 2012. Siri wang kertas baharu ini menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang seiring dengan teknologi terkini termasuk imej bayang-bayang, tetingkap jernih, potret tera air berpiksel dengan nombor yang jelas, benang keselamatan yang berubah warna dan benang kanta mikro. Boleh lihat gambar di bawah ini.
Jika kita perasan, pihak Bank Negara mula mewujudkan kembali wang kertas RM20 kepada umum. Berkemungkinan tidak lama lagi RM10 juga tidak akan bernilai, dan pihak penjual akan menggunakan RM20 sebagai satu penanda aras baru bagi harga biasa yang rendah. Sebagai contoh, ada juga penjual mengenakan barangan RM10 dapat set makanan. Tidak mustahil ia akan menjadi RM20 untuk set makanan. Melayukini.net -

Muamalat dalam Islam Bukan Sekadar Kewangan..

Sebut saja Muamalat umat Islam akan segera memikirkan sistem perbankan dan kewangan Islam. Itu saja.

Penyempitan istilah Muamalat ini harus dileraikan agar umat Islam di Malaysia mampu memahaminya secara telus dan haq agar tidak tersasar daripada maksud dan aplikasinya yang sebenar di dalam Islam.

Menurut Ustaz Muhammad Najib Abdullah pensyarah daripada Universiti Sains Islam Malaysia, segala harta yang ada di alam ini sama ada di muka bumi, di lautan atau di dasarnya adalah milik Allah SWT secara mutlak. Manusia hanya diberikan kebenaran untuk mencari dan memiliki harta yang disediakan oleh Allah SWT itu melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dianugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah SWT dan khalifah yang bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.

“Malah semua urusan mentadbir anugerah Allah ini adalah digelar sebagai muamalat. Bukan hanya sekadar pengurusan perbankan sahaja seperti lazimnya difahami oleh umat Islam kita. Bermakna bukan hanya kita beradab dan menjaga tatasusila semasa urusan jual beli dan kewangan, malah semua urusan duniawi kita hendaklah berteraskan kepada rasa tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Tuhannya. Barulah tiada penyalahgunaan kuasa, pencerobohan alam sekitar, rasuah, nepotisme dan sebagainya. Kerana setiap makhluk itu akan rasa takut azab Allah SWT,” kata beliau semasa membentang kertaskerja bertajuk Beberapa Prinsip Mualamat Islamiyah: Ke Arah Memperkasakannya sempena Seminar Usahawan & Profesional HALUAN di sini.

Beliau memetik ayat Quran daripada surah Al Mulk:15 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)”.

Muamalat bererti semua hukum-hakam syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia, dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya. Manusia mempunyai dua perhubungan di dalam hidup ini, iaitu hubungan dengan Allah (hablun min Allah) yang merangkumi aspek ibadah, dan hubungan dengan manusia (hablun min al-nas) yang dinamakan aspek muamalat.

Oleh kerana itu, muamalat merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing. Ia telah ditetapkan oleh Allah SWT yang mesti dipatuhi dan melibatkan bidang ekonomi dan juga sosial Islam.

Namun begitu, muamalat dengan nama yang digunakan pada hari ini ialah dalam bidang ekonomi, kewangan dan urusniaga yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Katanya lagi, di antara tujuan muamalat adalah supaya di dalam kehidupan manusia tidak akan berlaku sesuatu kecurangan seperti rampas-merampas, ceroboh-menceroboh pada pemilikan serta tipu daya dan sebagainya. Ia bakal meletakkan manusia pada nilai dan taraf yang tinggi sehingga beroleh keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

Muamalat juga menentukan peraturan-peraturan berusaha dan bekerja untuk manusia dengan jalan yang halal tanpa menindas orang lain ataupun mementingkan hanya sebelah pihak sahaja.
Unknown info Ekonomi