Muamalat dalam Islam Bukan Sekadar Kewangan..

Sebut saja Muamalat umat Islam akan segera memikirkan sistem perbankan dan kewangan Islam. Itu saja.

Penyempitan istilah Muamalat ini harus dileraikan agar umat Islam di Malaysia mampu memahaminya secara telus dan haq agar tidak tersasar daripada maksud dan aplikasinya yang sebenar di dalam Islam.

Menurut Ustaz Muhammad Najib Abdullah pensyarah daripada Universiti Sains Islam Malaysia, segala harta yang ada di alam ini sama ada di muka bumi, di lautan atau di dasarnya adalah milik Allah SWT secara mutlak. Manusia hanya diberikan kebenaran untuk mencari dan memiliki harta yang disediakan oleh Allah SWT itu melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dianugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah SWT dan khalifah yang bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.

“Malah semua urusan mentadbir anugerah Allah ini adalah digelar sebagai muamalat. Bukan hanya sekadar pengurusan perbankan sahaja seperti lazimnya difahami oleh umat Islam kita. Bermakna bukan hanya kita beradab dan menjaga tatasusila semasa urusan jual beli dan kewangan, malah semua urusan duniawi kita hendaklah berteraskan kepada rasa tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Tuhannya. Barulah tiada penyalahgunaan kuasa, pencerobohan alam sekitar, rasuah, nepotisme dan sebagainya. Kerana setiap makhluk itu akan rasa takut azab Allah SWT,” kata beliau semasa membentang kertaskerja bertajuk Beberapa Prinsip Mualamat Islamiyah: Ke Arah Memperkasakannya sempena Seminar Usahawan & Profesional HALUAN di sini.

Beliau memetik ayat Quran daripada surah Al Mulk:15 yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)”.

Muamalat bererti semua hukum-hakam syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia, dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya. Manusia mempunyai dua perhubungan di dalam hidup ini, iaitu hubungan dengan Allah (hablun min Allah) yang merangkumi aspek ibadah, dan hubungan dengan manusia (hablun min al-nas) yang dinamakan aspek muamalat.

Oleh kerana itu, muamalat merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing. Ia telah ditetapkan oleh Allah SWT yang mesti dipatuhi dan melibatkan bidang ekonomi dan juga sosial Islam.

Namun begitu, muamalat dengan nama yang digunakan pada hari ini ialah dalam bidang ekonomi, kewangan dan urusniaga yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Katanya lagi, di antara tujuan muamalat adalah supaya di dalam kehidupan manusia tidak akan berlaku sesuatu kecurangan seperti rampas-merampas, ceroboh-menceroboh pada pemilikan serta tipu daya dan sebagainya. Ia bakal meletakkan manusia pada nilai dan taraf yang tinggi sehingga beroleh keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

Muamalat juga menentukan peraturan-peraturan berusaha dan bekerja untuk manusia dengan jalan yang halal tanpa menindas orang lain ataupun mementingkan hanya sebelah pihak sahaja.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Ekonomi dengan judul Muamalat dalam Islam Bukan Sekadar Kewangan... Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/06/muamalat-dalam-islam-bukan-sekadar.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Muamalat dalam Islam Bukan Sekadar Kewangan.."

Post a Comment

Arsip Blog