SIAPA yang tidak mahu mendapatkan sesuatu secara berganda. Bayangkan kita membeli sebuah kereta mewah dan diberikan lagi percuma sebuah, malah sehingga lebih 70 kereta secara percuma.
Kedengaran agak melucukan, namun begitulah perumpamaan kelebihan ganjaran yang Allah SWT janjikan kepada umat Islam yang melakukan amal ibadah pada bulan mulia iaitu Ramadan yang sedang kita lalui sekarang.
Terasa amat rugi jika kita tidak mengambil peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini di mana di dalamnya terdapat satu malam yang bersamaan seribu bulan.
Tanpa kita sedari, pantasnya masa berlalu, Ramadan bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Bagi mereka yang benar-benar menghayati bulan yang penuh istimewa ini pasti terasa amat berat untuk meninggalkannya.
Bulan Ramadan yang dijanjikan pelbagai kelebihan itu hanya tiba sebulan dalam setahun. Tiada siapa dapat menjamin akan peluang untuk menemuinya pada tahun akan datang.
Pendakwah terkemuka, Datuk Ismail Kamus berkata, selain dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda, bulan Ramadan yang disyariatkan berpuasa kepada umat Islam merupakan pintu kepada ibadah.
Ini kerana katanya, melalui berpuasa dapat menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan untuk menghasut manusia daripada melakukan amal kebajikan dan meninggalkan pelbagai perbuatan mungkar.
"Amalan berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum. Oleh itu dengan cara berlapar menjadikan saluran darah dalam tubuh manusia yang menjadi laluan syaitan akan mengecil.
"Justeru dengan melaksanakan puasa dapat menyempitkan laluan syaitan itu daripada melalui tubuh manusia dan menghasut fikiran kita untuk melakukan perkara-perkara mungkar.
"Malah, dengan itu, kita perlu mengambil peluang menjadikan bulan puasa sebagai salah satu bulan untuk muhasabah diri dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ceramah umum sempena sambutan Ramadan 2012 di Madrasah al-Ikhsaniah, Pangsapuri Bukit Baru, Keramat Hujung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, terdapat tiga kategori atau tingkat orang yang berpuasa iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khususul khusus.
"Puasa umum adalah orang yang hanya mendapat penat, lapar dan dahaga sahaja tanpa diberikan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT. Ini kerana, puasa umum adalah puasa orang yang tidak berusaha mencegah daripada melakukan perbuatan mungkar dan juga meninggalkan perintah Allah SWT yang lain.
"Puasa Khusus pula adalah puasa orang yang sentiasa menjaga tingkah lakunya daripada melakukan perbuatan mungkar dan menunaikan perintah Allah SWT yang lain, di samping memperbanyak amalan sunat.
"Manakala puasa Khususul Khusus pula adalah dengan menyertakan semua perbuatan di atas di samping disertai dengan puasa di hati, iaitu berpuasa daripada cita-cita kotor dan pemikiran duniawi. Puasa ini adalah puasa tahap Anbiya', Siddiqin dan para ulama," jelasnya.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam
dengan judul Puasa itu pintu ibadah. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/08/puasa-itu-pintu-ibadah.html. Terima kasih!
Ditulis oleh:
Unknown -
Belum ada komentar untuk "Puasa itu pintu ibadah"
Post a Comment