'Sweet'nya Allah Pada Kita

Kaji Sebelum Caci
altTatkala senyum, dileteri, senyummu terlebih gula.
Tatkala masam, diumpat, wajahmu tidak ceria.
Tatkala ke media, dituduh, sengaja mencari pujian. Gila glamor. Hendak menunjuk cantik.
Tatkala di rumah, dituduh tersepit. Terkongkong. Tidak pedulikan keperluan masyarakat.
Payahnya melangkah sebagai manusia, jika ingin memenuhi kepuasan semua orang. Relatif dan pelbagai. Kata pepatah Arab, kepuasan manusia adalah matlamat yang mustahil boleh dicapai.
Nabi memujuk, "Seorang mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan dan kejahatan masyarakatnya." (Hadis Riwayat Bukhari, al-Tirmizi dan Ahmad, sahih)

Ya, Allah, kami mengadu kepadaMu dengan sikap manusia yang suka tergesa-gesa menghukum.
Kita tidak perlu membalas sikap keras mereka dengan kekerasan yang sama. Biar kita tersalah tidak menghukum daripada tersalah menghukum.

Nabi sungguh hebat memotivasikan kita, "Bertakwalah kepada Allah di mana jua kamu berada. Ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu dapat menghapuskan kejahatan. Dan berakhlaklah kamu sesama manusia dengan akhlak yang baik." (Riwayat Ahmad dan lain-lain).

Kami berterima-kasih kepadaMu, ya Allah kerana menghadirkan para ulama pewaris Nabi yang istiqamah menerangkan manhaj hidup yang mudah lagi memudahkan. Bukan bermudah-mudah. Bukan pula memayah-mayahkan. Dengan kejernihan fikrah mereka, kami tenang melangkah.

Apabila Manusia Tidak Faham Perbezaan Fiqih, Timbullah Label dan Umpatan
Ramai remaja mengadu kepada saya dengan 1001 dilema dan cerita.
"Saya ditengking oleh abang saya kerana memakai baju berwarna 'pink'. Katanya, haram wanita berbaju warna terang. Saya cuma mahukan warna itu untuk membangkitkan 'mood' ceria saya tanpa niat menggoda sesiapa. "

"Saya dilabel 'tabarruj' kerana memakai tudung pashmina, dan shawl. Padahal ianya sudahpun menutup aurat."
"Saya digelar 'si punuk unta' kerana sanggul saya. Buruk. Mangsa fesyen. Mereka tidak faham saya bersanggul bukan kerana fesyen atau hendak menunjuk. Sesetengah wanita berambut panjang perlu bersanggul agar tidak pening kepala. Seperti mana wanita lepas bersalin mesti bersanggul kemas demi kesihatannya."

"Saya dituduh mengikut arus hanya kerana tudung 'instant' saya. Padahal, saya cuma mahu jimatkan masa daripada 'iron' dan ingin cepat bersiap."
"(Punggung) saya besar. Orang tuduh saya miang. Sebab saya jalan melenggang-lenggok. Itu bukan kesengajaan saya. Adilkah saya dilabel begitu?"

"Suara saya merdu dan lunak. Adakah saya perlu bisukan suara di dunia ini? Sudah tentu saya terseksa dan sakit tekak jika perlu meniru-niru suara kasar seperti lelaki. Bukankah cara komunikasi setiap orang mempunyai keasliannya yang tersendiri? Salahkah saya menjadi diri sendiri?"

"Ramai orang berkata saya berwajah cantik. Jika ada lelaki tergoda, (adakah) dia yang perlu menundukkan pandangan atau saya yang wajib berpurdah? Purdah bagi saya menyulitkan urusan saya, mungkin ia tidak bagi orang lain. Tidakkah Islam memberi 'rukhsah' kepada kesulitan saya?"

"Saya lelaki yang dilahirkan lembut sejak kecil. Orang menuduh saya menyerupai wanita. Bukankah Allah tidak menghukum hambaNya sesuatu yang di luar kuasanya?"
Sabarlah remajaku sayang atas ketergesaan label-label manusia.

Tenangkan Hatimu dengan Ilmu dan Hujah, Bukan 'Rasa-Rasa'
Dalam menghadapi kemelut ini, menjadi keperluan kita untuk mencari ilmu dan hujah daripada sumber-sumber yang sahih. Ia akan memberi ketenangan hati. Jika kita salah, kita kena bersedia untuk betulkan diri. Jika kita tidak salah, kenapa kita perlu menyeksa diri untuk cuba memenuhi kepuasan mereka?
Rujuklah para ulama dan buku-buku besar mereka. Kenal pasti mana isu 'khilaf' dan mana isu yang disepakati. Kita akan terus bercakaran sesama sendiri apabila melayani perkara 'khilaf' sama seperti melayani perkara yang disepakati. Tingkat toleransi akan menjadi tinggi apabila kita mengkaji perbezaan dan memahaminya.

Kita juga perlu kenal mana 'prinsip' untuk kita teguh dan istiqamah. Mana pula 'perlaksanaan' yang Islam benarkan kita fleksibel. Thabat (teguh) dan murunah (fleksibel) adalah watak-watak Islam. Luaskan ufuk minda, jangan kita sempitkan.
Firman Allah SWT:
"...Allah mahukan kemudahan bagimu dan Allah tidak mahukan kesusahan bagimu..."
(Surah al-Baqarah, ayat 185)
Nikmatilah 'kemudahan' memilih apa yang baik selagi masih dalam batasan tanpa perlu terikat dengan 'kesukaan' orang yang pelbagai. Jika mereka tetap ingin melabel dan mengumpat, tersenyumlah.
Sedih itu fitrah tapi usah bersedih-sedih. Di akhirat nanti, kita perlukan mereka untuk memikul dosa kita. Kita juga boleh mengikis pahala mereka. Indah, bukan? Moga Allah sudi ampunkan kita dan mereka.
Fatwa Berat atau Fatwa Mudah Pilihan Hati?

Kita terbiasa dengan fatwa-fatwa yang berat terutamanya berkenaan masalah wanita selama ini. Sebabnya, kebanyakan para ustaz yang baik dan sudi mengajar kita itu terbiasa merujuk terus fatwa-fatwa lama dan kurang memerhatikan fiqah perbandingan (fiqh muqaran) dan fiqah kontemporari (fiqh mua'shirah). Alhamdulillah, sejuta penghargaan buat mereka kerana ijtihad para ulama masih dalam daerah pahala.
Jika ia terlalu menekan hidupmu dan menyesakkan dadamu, temuilah ketenangan beragama, kemudahan beramal, keindahan toleransi, kekuatan penyatuan dan kehalusan seni dakwah dalam fatwa dan ijtihad ulama-ulama muktabar kontemporari khususnya dalam masalah-masalah wanita. Para ulama muktabar itu antaranya ialah dalam kalangan mereka yang bermanhaj pertengahan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Abdul Karim Zaidan dan seumpamanya. Seperti juga para ulama yang lain, mereka berijtihad dengan ilmu, bukan dengan nafsu.

Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyusun fiqh keutamaan agar kita turut merujuk fatwa-fatwa kontemporari. Mereka menghargai pendapat lama dan meraikan tajdid (pembaharuan).
Syukur sangat kerana golongan ulama muktabar ini mendedahkan suatu kefahaman dan tafsiran al-Quran dan hadis yang membuatkan ummah berasakan Islam itu benar-benar mudah dan praktikal untuk diamalkan. Realistik dengan perubahan zaman. Yang halal amat luas sebaliknya yang haram amat sempit dalam Islam.
Allah mempersoalkan kita di akhirat nanti berdasarkan ilmu dan kefahaman kita. Oleh sebab itu, bagi mereka yang tetap ingin berpegang dengan fatwa-fatwa yang berat, silakan. Tiada masalah. Tapi perlu bersedia beramal dengan fatwa-fatwa berat yang dipegang itu. Hormatilah orang yang tidak sehaluan. Selagi pandangan itu, Islam benarkan kita berbeza.

Islam Kasihankan Kita
Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia. Terutamanya, dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram.
Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas "kawasan yang dimaafkan" kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa.
Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun."
(Surah al-Maidah, ayat 101)
Rasulullah SAW bersabda, "Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya." (Muttafaqun a'laih).

Baginda bersabda lagi, "Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukum-hukum maka janganlah kalian melanggarnya. Mewajibkan kewajipan-kewajipan maka janganlah kalian mensia-siakannya. Mengharamkan sesuatu maka janganlah kamu melakukannya, dan mendiamkan sesuatu kerana kasihan kepada kalian, bukan kerana lupa maka janganlah kalian mempersoalkannya. (Hadis Riwayat Daruqutni dan al-Hakim, dan dia menilainya sahih. Rujuk Al-Qaradhawi, Nahwa Fiqh Muyassar)
Selagi Bukan Dosa, Bebaslah Memilih
Remajaku sayang,

Tenang dan yakinlah dengan setiap pilihan hidupmu. Selagi ia bukan dosa, nikmatilah kebebasanmu memilih mengikut cita rasamu sendiri. Berbahagialah menjadi diri sendiri. Pandangan manusia itu penting tapi memuaskan pandangan mereka semuanya adalah suatu tindakan yang 'gila'. Paling penting, tiada konflik antara pilihanmu dengan kehendak Tuhanmu
.
Prinsip awal yang ditetapkan oleh Islam, bahawa asal segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah, baik berupa benda mahupun manfaat, adalah halal dan boleh, dan tidak haram kecuali ada nas sharih (jelas) yang mengharamkannya. Apabila nasnya tidak sahih, atau tidak sharih (jelas) menunjukkan pada yang haram, maka sesuatu itu hukumnya tetap harus.
Kata Imam Asy-Syatibi,

"Tidak ada perintah kecuali dengan dalil, apabila tidak ada dalil yang menunjukkan perintah untuk melakukannya, maka perintah itu gugur dengannya." (Rujuk kitab al-Muwafaqat oleh Asy-Syatibi)
Dari sinilah kawasan yang diharamkan oleh Allah menjadi sangat sempit. Kawasan yang dihalalkan semakin luas dan banyak. Hal itu tidak lain kerana nas-nas sharih yang mengharamkan sesuatu jumlahnya sangat sedikit. Sedangkan yang tidak dinyatakan halal atau haram, maka ia tetap pada hukum asalnya, iaitu mubah (harus) dan termasuk ke dalam kawasan yang dimaafkan oleh Allah SWT.
Sweetnya Allah pada kita, bukan?!

Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam dengan judul 'Sweet'nya Allah Pada Kita . Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/08/sweetnya-allah-pada-kita.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "'Sweet'nya Allah Pada Kita "

Post a Comment

Arsip Blog