Soal Hati

altSewaktu suatu ketika saling berbalas message dengan sahabat nun di UIA Gombak sana, secara tidak sengaja persoalan hati dikeluarkan.
"rindu Rabiatul juga. Biasa la, sihat Alhamdulillah. Tapi dalaman tak berapa sihat. Macam mana nak jaga hati ni ye Rabiatul?
"
Soal hati. Dan perasaan.
"Daripada maksiat. Daripada zina hati. Daripada segala dosa. Daripada lelaki. Tak suka la. Org sekarang ramai duk bercouple. Kita tak nak. Tapi kawan yang rapat semua dah ada. Keinginan tu ada tapi nak elak. Susah sangat. Macam mana ea?"

Dia seorang sahabat yang bukan daripada jurusan Bahasa Arab seperti saya. Mula mengenalinya melalui perantaraan seorang roommate yang juga satu jurusan dengannya. Seorang muslimah yang sangat periang dan ramah. Sungguh! Cepat sahaja mesra kerana perwatakannya yang 'happening' serasi dengan diri.
Peribadinya yang satu itu mengagumkan. Yang mana tidak saya temui ketara pada sahabat lain sekalipun mereka yang satu jurusan. Satu yang terlalu mengajar saya, sikapnya yang dahagakan ilmu. Sikapnya yang tidak malu walau tidak tahu dan terus bertanya andai tidak memahami sesuatu perkara. Merendah diri. Saya malu sendiri dalam rasa dihargai kerana selalu sahaja bertanya kepada diri ini. Sedangkan saya sendiri maklum tidak banyak ilmu yang saya tahu untuk dikongsikan dan menjawab soalan-soalan daripada dia seorang muslimah manis bertudung labuh.
Love ya friend
!
Dari dulu sampai sekarang sahabat sudi menjadikan diri tempat luahan untuk berbicara tentang soal perasaan dari hati ke hati. Dan dari situ diri memahami isu cinta ini evergreen. Sungguh saya tidak pernah bosan. Malah bukan hak saya untuk mendengar acuh tidak acuh setiap perkongsian daripada sahabat. Raikan ceritanya. Walaupun melihat kepada kisah hidup saya, saya bukanlah seorang yang layak untuk berbicara tentang cinta. Kerana saya masih belum cukup makan garam!

Ada kisah tersepit kerana cinta. Ada kisah keinginan mahu berubah terkadang terasa payah kerana cinta dulu datang mengundang. Ada kisah tangis disebabkan cinta. Ada kisah yang keliru dalam mengejar cinta. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah terus mendengar dengan hati terbuka. Don't ever easily judge them but help them till the end.

Terkadang ada sahabat yang mendesak diri ini supaya menceritakan soal hati kerana hanya dia sahaja yang berkongsi. Bukan saya tidak mahu tetapi tiada apa yang menarik tentang cinta untuk diberitahu. Rasa suka itu pasti ada tanda kenormalan hormon tetapi sekejap sahaja. Sukar meminati seseorang. Sukar jatuh cinta. Jadi, tiada cerita. Mungkin kerana masih meminati 'Barbie' dan melangut kepala menonton 'Totally Spies'? (Tak adalah. Saya gurau sahaja. He he.)

Prinsip. Tidak ada yang boleh mengambil tempat 'dia-yang-entah-di-mana' selagi belum ada ikatan sah. Prinsip. Tidak mahu dimabukkan dengan khayalan cinta yang tidak pasti. Prinsip. Jangan biarkan cinta yang tidak diundang meruntuhkan pendirian seorang muslimah dalam diri. Prinsip. Hidup ini bukan sekadar untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia. Prinsip. Katanya seorang da'ie, kau harus kuat untuk mendidik ummah jadi jangan mudah lemah kerana cinta
!
Mungkin kerana prinsip ini yang membuatkan diri tetap pada pegangan. Anda juga begitu, bukan? Maka pegang ia kemas-kemas. Saya mahu dia yang ikhlas dalam cinta terhadap agama jadi saya juga berkeras mendidik jiwa meletakkan Dia yang pertama di dalam hati. Walaupun saya tahu masih belum berjaya. Payah. Terlalu kerana cinta dunia itu bersifat mengasak. Namun, pasti terus usaha! Bukan mudah untuk menjadi muslimah yang kental melawan arus cinta zaman kini. So, just take the challenge
!
Lelaki pada saya begini. Yang lebih tua bagaikan seorang abang untuk dihormati. Yang lebih muda dianggap bagai adik sendiri untuk dikasihi. Yang sebaya sebagai sahabat seperjuangan. Ada yang lebih mengambil pendekatan untuk lebih menjaga. Tua atau muda sama sahaja. Raikan pendiriannya. Kerana kita masing-masing membesar dalam suasana persekitaran yang berlainan. Yang penting, syariat dan batas itu mesti tetap terjaga.

Apabila begitu, saya mengajar diri untuk tidak mudah membenarkan sesiapa menyentuh hati saya. Sering saya ulang supaya jangan terlalu mudah perasan dan cepat melatah. Tidak bermakna lelaki yang menegur kita punya perasaan. Ada segelintir yang punya semangat setiakawan yang tinggi. Raikan mereka. Kerana mereka juga manusia seperti kita. Rai sekadarnya yang perlu. Namun, mana yang berkehendak lebih, nantikan 'sepakan penalt
.
 (Photo credit: seyed mostafa zamani via photo pin cc)
Suatu hari, ketika seorang sahabat pulang daripada bersiar-siar dan kembali ke bilik, dia mula berkongsi cerita. Katanya, sewaktu berada di dalam kedai buku dia terdengar seorang lelaki mengatakan...
"Sebelum aku kahwin, aku mahu bahagiakan ibu bapa aku dahulu."
Tersentap. Saya yang terasa.

Saya dan dia sama-sama mengiyakan kenyataan itu.
Jauh merenung. Kata-kata itu dalam maksudnya. Saya ambil serius.
Sebelum aku kahwin, aku mahu benar-benar merasai cinta Ilahi.
Sebelum aku kahwin, aku mahu mengutip pengalaman selama mana hidup sendiri.
Sebelum aku kahwin, aku mahu persiapkan hati untuk menghadapi cabaran mendatang.
Sebelum aku kahwin...ah, entahkan sempat atau tidak!
Yang pasti, akan kahwin atau tidak, ajal pasti akan datang.
Sebelum kematian datang menjemput, tidak dapat tidak diri mesti sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Seharusnya ditukar 'Sebelum aku pergi...', kemudian baru menyedari begitu banyak perkara yang masih perlu dilakukan selain hanya berfikir 'Sebelum aku kahwin'!
Menjalani kehidupan mencari sebenar-benar hakikat cinta.
Kesimpulan.

Ini kesimpulan yang panjang. Apa yang mahu disampaikan kali ini.
Cinta manusia. Salahkah?
Tidak salah tetapi jangan sampai diri lemah kerananya. Apabila kau menyedari diri merupakan seorang pejuang maka itulah fokus kehidupanmu. Ya, melalui cinta juga diri bisa berdakwah. Berdakwahlah sekalipun dengan isu cinta manusia yang kerap kali terulang. Namun ingat, hati juga perlu pengisian yang lebih daripada sekadar cinta itu. Perluaskan skop pandangan melihat perkataan 'cinta'. Hebat andai pada tiap lintasan di minda, anda sentiasa mentafsir perkataan 'cinta' itu adalah cinta kepada Allah. Nah, begitu yang kita mahu.

Tidak salah. Kerana itu adanya perkahwinan untuk merai fitrah manusiawi. Tidak salah mahu berbicara soal kahwin dan merancangnya mengikut syariat kerana itu juga yang dianjurkan Rasulullah. Namun lebihkan pada perancangan dan pengurusan diri. Tidak usah melihat jauh, lihatlah terlebih dahulu pada solat lima waktu sehari semalam. Apakah berusaha didirikan pada awal waktu?

Tidak salah tetapi usah kau keliru memandang cinta. Cinta yang tidak syar'ie tiada sebab untuk kau cemburui. Bersabarlah. Jodohmu pasti tiba andai takdir ada di dunia. Jangan mengambil jalan mudah dengan menjalin hubungan cinta yang membelakangiNya. Itu cinta nafsu! Tiada keberkatannya andai lorong itu yang diambil. Maka, waspadalah. Kerana syaitan itu bijak menghias perkara maksiat pada penglihatan sebagai suatu khayalan indah.

Tidak salah tetapi berjaga moga tidak cenderung ke arah cinta manusia yang tidak halal. Rentetan itu hati menjadi sedih tatkala cinta tidak seperti yg diidam. Tidak salah mula mencari andai diri itu sudah diketahui bersedia memasuki fasa baru. Namun berpadalah. Jangan sehingga pencarian menjadi racun kepada ibadah.
Tidak salah. Tetapi ketahuilah, mereka yang mendekati cinta manusia hanya akan memikirkan manusia. Kata novelis terkenal, Ustazah Fatimah Syarha, mereka yang menginginkan perkahwinan sebagai jalan tutup daripada terjebak ke dalam maksiat zina sebenarnya mendedahkan bahawa kehidupan dirinya dekat kepada jalan-jalan zina seperti SMS, calling, dating dan lain-lain. Begitu juga, apabila mereka yang benar-benar menginginkan cinta Allah pastinya melazimi diri dengan perkara yang membawa kepada kebaikan dan mengisi fikiran dengan perkara yang memberi nafas segar terhadap iman.
Jernihkan hati mencari diri.

Kita hanya hamba yang melalui tempat persinggahan sebelum kembali kepadaNya.
Dunia itu penuh tipu daya maka persiapkan diri menghadapiNya.
Cinta itu bukan noda tetapi kitalah yang sering mewarna hitamkan kanvas cinta sendiri.
Peringatan sepenuhnya buat diri.
Kerana saya juga seorang remaja.
Kerana saya juga seorang manusia yang keliru.
Menyedari itu mesti berpegang erat pada prinsip agama.
Sebelum ditarik cinta bercelaru bernafsu.
Ingat, hati itu juga harus kita bina sekental kanak-kanak Palestin yang bangkit mempertahankan agama yang tetap sahaja tersenyum walau dilumuri darah.

Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam dengan judul Soal Hati . Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/08/soal-hati.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Soal Hati "

Post a Comment

Arsip Blog