Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan
hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang
dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang
agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi
syariat.
Gambaran negara yang Islamik sebagai negara yang sibuk
mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran
yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami
Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme
untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan
negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi
semua jenayah.
Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah
hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini
berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula
memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.
Seseorang
muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab
pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata,
tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas
tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.
Justeru itu,
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah,
beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian
bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya.
Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:
“Wahai
Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai
bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit
lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi
lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang
mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama
mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku
akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang
alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis”
(Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197.
Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah
gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau.
Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan
amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat.
Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di
akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang
berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah
tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat
sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.
Itulah gambaran negara yang
sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para
sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab
al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan
keadilan pemerintah, katanya:
“Jadilah engkau bapa kepada
yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian
juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan
kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun
satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn
Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah
ar-Risalah/1417H).
Membezakan Jenis Jenayah
Dalam
hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan
kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak.
Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri.
Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam
seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang
berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita
melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh
kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus,
maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam
al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya
semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah
dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang
berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan
yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan
meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap
kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh
digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa
pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika
perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar,
4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi
Ramai
akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu
akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang
yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran
perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di
sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari
pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman
Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku
ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai
hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai
untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat
untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi
mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula
menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip
mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan
kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam
memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip)
dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak
juga oleh pihak kerajaan”.
(http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
“Bahawa
dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di
Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api
di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila
hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang
dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang
tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”.
Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang
sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku
berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah
berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun
pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak,
dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja.
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja.
Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf
Dalam
perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar
mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau
berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan
diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya
pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan
agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih.
Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”.
Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi
penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi
pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.
Lalu
baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan
kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu?
(Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak.
Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan
sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk
melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud
bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada
siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan
as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang
mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang
curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza
dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden
juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua
perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.
Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment). -
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam
dengan judul Isu Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/08/isu-hudud-dan-beberapa-gambaran-salah.html. Terima kasih!
Ditulis oleh:
Unknown -
Belum ada komentar untuk "Isu Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah"
Post a Comment