Para
ulama’ berbincang panjang tentang perbezaan yang wujud di antara iblis,
syaitan dan jin. Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kita
tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain. Namun, secara ringkasnya
boleh dinyatakan bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggun
jawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia. Firman Allah
dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadat kepadaKu.
Justeru,
jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh
itu, terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir,
fasik, munafik dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11
bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang yang
soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami
menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang
diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27
bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang
sangat panas.”
Manakala
iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran
telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah daripada jenis jin.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud: Dan
(ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah
kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal
dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh
itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai
sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang
mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai
pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Manakala
syaitan pula adalah golongan yang engkar dari kalangan jin dan manusia.
Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari
syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada
setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk
memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka
tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka
ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Menurut
al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan
bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin
dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada
memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara dan tipu
daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan
mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh dikatakan
bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’ yang
engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan
berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas
dendam atas pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga ekoran
keengganan untuk sujud pada nabi Adam.
Firman
Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: "Oleh
kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi
sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari
menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari
hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta
dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka
bersyukur". Menurut Ibn Qayyim maksud "jalan yang lurus" di dalam ayat
di atas ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini
bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan
menghalang anak Adam pada semua jalan.
Ibn
Qayyim menyatakan lagi: "Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat;
kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan
sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan
ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia
melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan
dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan
manusia), syaitan pun akan melakukannya".
Jelaslah
bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran
bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan
dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap penjuru
yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain
menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk
menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya.
UstazCambodia
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam /
info Sejarah
dengan judul Perbezaan Antara Syaitan Dan Jin. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/08/perbezaan-antara-syaitan-dan-jin.html. Terima kasih!
Ditulis oleh:
Unknown -
Belum ada komentar untuk "Perbezaan Antara Syaitan Dan Jin"
Post a Comment