PRU di musim haji Haram Hukum Nya..


KUALA LUMPUR - Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (MURSHID) bersepakat bahawa pilihan raya dan pengundian tidak boleh atau haram dilaksanakan  pada waktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji, kata Dr Zahazan Mohamed.

Katanya, semasa haji, berpuluh ribu pengundi berada di luar negara sama ada mengerjakan haji atau bertugas selaku pembimbing dan pengurus jemaah haji.
Menurut beliau, dalam sistem demokrasi, pilihan raya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah.
Maka, ketika sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah memastikan semaksimum mungkin penyertaan rakyat dalam pilihan raya dan kempen pendaftaran pengundian mesti dipermoden dan dipermudah di seluruh tanah air, dan rakyat yang berada di luar negara perlu dijamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.
Tambahnya, jika pilihan raya dilakukan juga pada musim haji, ia adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan kerana proses pengundian adalah suatu proses kesaksian.

Beliau memetik dua firman Allah iaitu “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu.” ( At-Talaq: 2) dan "Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil." (Al-Baqarah: 282).
Dalam sesuatu proses yang memerlukan mereka yang bermaklumat bersaksi untuk menegakkan keputusan dan keadilan, saksi tersebut diharamkan untuk enggan memberi keterangan.
Menurutnya lagi, jika pihak berkuasa memutuskan pilihan raya dibuat pada musim haji, ia adalah suatu tindakan akan dikira secara sengaja menghalang rakyat daripada  keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Hal ini kerana dalam pilihan raya, rakyat bertindak sebagai saksi untuk menyokong seseorang calon yang dirasakan mampu memartabatkan keadilan dan keharmonian dalam negara atau menolaknya.
Katanya, jika saksi tidak harus enggan memberi penyaksian, tidak harus juga pihak ketiga menghalang saksi daripada memberi penyaksian seperti sengaja membuat sesi perbicaraan pada waktu saksi berada di luar negara.

Ustaz Zahazan mengingatkan firman Allah yang mengingatkan bahawa semua yang diberikan hak dan berkelayakan memberikan penyaksian sama ada di mahkamah dan termasuk juga penyaksian pada musim pilihan raya, mestilah tidak sengaja menutup kesaksian mereka dan jangan pula pihak berkuasa menutup ruang dan hak mereka.

“Janganlah kamu enggan memberikan penyaksian, barangsiapa yang menyembunyikannya maka berdosa hatinya …” (Al-Baqarah: 283)
MURSHID adalah sebuah gabungan melibatkan ulama, cendekiawan dan ilmuwan Islam di Malaysia yang dipengerusikan oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman bagi membincangkan dan bersepakat memberi pandangan dalam isu-isu kontemporari menurut perspektif Islam.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam / info Politik dengan judul PRU di musim haji Haram Hukum Nya... Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/06/adakah-haram-pru-di-musim-haji.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "PRU di musim haji Haram Hukum Nya.."

Post a Comment

Arsip Blog