Kerana Auratlah Yang Membezakan Kita Dengan Mereka

Bersyukur aku kepada Ilahi kerana masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bernafas, meni’mati segala kurniaanNya yang tidak mampu untuk aku beli. Dari kita celik mata hinggalah kita menutup mata, terlalu banyak ni’mat kurniaan Dia kepada kita kan? Selepas bangun dari subuh, aku tidak terus tidur. Sudah menjadi kebiasaan aku tidak akan tidur selepas subuh melainkan mata dan badan ini terlalu letih kerana berjaga untuk membuat tugasan dan assignment di malam hari, barulah aku akan tidur sebentar. Rutin harianku sekiranya tidak kuliah, aku akan mula mengakses internet untuk membaca artikel-artikel yang boleh memberi manfaat. Ketika aku melayari sebuah blog, aku terbaca sebuah entry mengenai penghijarahan seorang wanita yang dari tidak menutup aurat dengan sempurna kepada bertudung labuh. Terkesima aku membacanya. Alhamdulillah.. Hidayah Allah itu datang kepada siapa yang cuba untuk mencarinya. Lalu aku juga teringin untuk berkongsi kisahku kepada kalian.

Sejak aku dibangku sekolah, aku sudah mengetahui tentang aurat wanita itu, bahkan apabila sedang belajar di kelas Pendidikan Islam sekiranya ditanya tentang aurat wanita aku adalah orang yang seringkali memberi jawapan. Tetapi tetap aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Aneh sungguh! Aku masih lagi mengenakan pakaian yang tidak mengikut kehendakNya, masih lagi tidak berstokin dan sebagainya. Pernah juga terdetik di hati ini untuk berubah pada ketika itu apabila melihat kawan yang tertutup rapi menjaga auratnya. Tetapi setiap kali aku cuba berubah, pasti pelbagai persoalan aku fikirkan. Nanti orang kata aku hipokrit lah, nanti kalau bertudung labuh tapi perangai tetap sama macam mana, nanti kalau bertudung labuh dah tak boleh nak “gila-gila” macam dulu, terlalu banyak yang aku fikir. Maka, akhirnya aku tetap begitu.


Kehidupanku diteruskan lagi apabila aku berjaya menempatkan diri di sebuah IPTA di selatan negara. Di sinilah kisah penghijrahanku bermula. Seperti pelajar-pelajar wanita yang lain, apabila ke kuliah aku akan mengenakan pakaian yang “biasa” aku pakai. Jeans, blouse dan tudung. Suatu hari ketika menunggu bas, mataku teralih untuk melihat dua orang mahasiswa di hadapanku. Seorangnya bukan islam dan seorangnya Islam. Lalu, aku mula memerhati. Aku terus menunduk dan melihat apa yang aku pakai dan aku terus mengalihkan pandangan kepada wanita Islam itu. Bertudung labuh, berbaju longgar dan juga labuh, seluarnya juga begitu dan berstokin. Maka timbul satu soalan dalam fikiranku. Sekiranya aku berpakaian seperti mereka yang bukan Islam itu, apakah beza antara aku dengan mereka? Di sepanjang perjalanan, aku hanya diam. Tidak kecoh seperti biasa. Aku mula berfikir. Tiba-tiba teringat kata-kata pensyarahku tempoh hari. Aku berjumpa dengannya untuk bertanya soalan, tapi dia pula yang menanyaku kembali. Sejurus aku memasuki biliknya, soalan pertama dia kepadaku, “You tahu tak kenapa baju yang you pakai ni tak boleh buat solat?”. Aku menjawab dengan nada yang endah tak endah. “Sebab ketat kot”. Betul, jawapan tu katanya. Tapi jawapan yang lebih tepat “sebab pakaian you tu tak boleh buat solat”, katanya lagi.

Aku mula teringat kembali kata-kata ayahku suatu ketika dahulu. “Anak babah cantik tau kalau pakai jubah, pakai longgar-longgar, taknak try ke?” “Kakak tak kesian ke kat babah kalau babah masuk neraka? Kakak pakai macam ni?” Aku mula tersentak! Jiwaku seperti disentap –sentap. Kepalaku masih ligat lagi memikirkan tentang hal ini. Aku seperti orang yang sedang tidur lalu dibangunkan dari lena yang panjang! Aku tidak terus makan pada hari itu, aku terus pulang ke bilik. Aku mula termangu, termenung memikirkan apa yang telah aku lakukan, apa yang telah aku kenakan di sepanjang hidup aku hingga saat ini. Bukan aku tidak tahu tentang aurat wanita itu, tetapi mengapa aku tidak mahu memahaminya? Bukan ayah tidak pernah menasihati aku, tetapi mengapa aku tetap berdegil? Bukan ayah tidak mendidik, mengapa aku tidak menerima untuk dididik? Bukan tiada sahabat yang menegur, mengapa aku tidak mengambil teguran mereka? Aku bukan tiada ilmu tentang ini, tetapi mengapa aku tidak pernah ambil tahu. Aku solat, tapi mengapa aku tidak mengikut pakaian yang disyariatNya? Islam kah aku sekiranya pakaian yang aku kenakan menerupai mereka yang bukan Islam? Air mataku mula mengalir tanpa sedar, memikirkan apa yang aku lakukan disepanjang aku hidup. Apa yang aku kenakan sebelum ini ketika aku melangkah keluar.

Hari demi hari, aku mula untuk memahami dengan lebih mendalam apakah itu aurat wanita dan cuba mempraktikkan. Perlahan-lahan aku mengenakan baju yang longgar dan labuh, bertudung menutupi dada, dan berstokin. Pencarian itu aku teruskan lagi. Aku memerhati mereka yang menjaga auratnya, aku mula membaca artikel-artikel tentang aurat wanita. Al-Quran yang jarang dibuka, aku mula buka. Jika sebelum ini aku membaca tanpa memahami maksud, aku mula mencari terjemahan quran itu. Sehingga lah aku menemukan ayat ini.
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan JANGANLAH MENAMPAKKAN PERHIASANNYA (AURATNYA), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka MENUTUPKAN KAIN KERUDUNG KE DADANYA..” - (Surah An Nur, 24: 31)
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, HENDAKLAH MEREKA MENUTUPKAN JILBABNYA KE SELURUH TUBUH MEREKA”. Yang demikian itu agar mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. - (Surah Al Ahzab, 33: 59)
Nah! Peringatan Allah tentang kewajiban menutup dan memelihara aurat ini telah terwujud sebelum kita dilahirkan lagi. Aku mula memahami betapa berharganya diri kita ini wahai wanita. Aku dapat merasakan sesuatu yang sangat berbeza apabila aku berpakaian begini. Sekiranya sebelum ini aku sering diganggu oleh lelaki, selepas aku berpakaian begini, aku tidak kerap diganggu terutamanya apabila berjalan seorang diri. Aku sudah merasakan selamat apabila berpakaian begini. Alhamdulillah, inilah ni’mat yang paling berharga dalam hidup selain ni’mat Islam dan Iman iaitu ni’mat hidayah. Hidayah takkan datang tanpa kita cari, Allah juga akan memberi hidayah kepada orang yang mencarinya. Bukankah Allah telah berkata Dia akan membantu kita sekiranya kita ingin mencari ilmuNya? Mana mungkin Dia memungkiri janji! Aku mula sedar, kehidupan dunia ini hanya satu persinggahan, hanya sementara. Jangan tertipu dengan fashion akhir zaman. Diri kita ini sangat berharga, lebih berharga dari segala-galanya. Apakah kita suka maruah kita dipermainkan, dipertontonkan pada yang tidak sepatutnya? Setiap yang BERHARGA di muka bumi ini selalu sulit untuk didapatkan, tidak ditemukan berselerakan. Cuba kita perhati, emas dan perak ditemukan di dalam perut bumi, dilindungi berlapis-lapiss dalam tanah. Berlian ditemukan terlindung dan tertutup oleh batuan yang keras. Mutiara ditemukan di dasar laut terlindung oleh cengkerang yang keras. Muslimah, kita ini lebih berharga dari emas, perak, berlian dan mutiara. Kita seharusnya TERLINDUNG. Pakailah jilbab/kerudung/hijab dengan BENAR, bukan untuk membungkus rapat tubuh melainkan untuk menutupi keindahannya hanya untuk yang pantas melihat kita.

Akhir kata dari saya, jangan sesekali malu untuk berubah ke arah kebaikan. Pedulikan saja kata-kata sinis orang. Nanti di akhirat sana, kita yang akan menjawab di depan Tuhan bukan? Ayuh bersama menutup aurat dengan sempurna. Kita mampu mengubahnya!
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Berita / info Informasi / info Islam / info Kisah Benar dengan judul Kerana Auratlah Yang Membezakan Kita Dengan Mereka. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://islam4online.blogspot.com/2012/07/kerana-auratlah-yang-membezakan-kita.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Kerana Auratlah Yang Membezakan Kita Dengan Mereka"

Post a Comment

Arsip Blog