Hakikat Ilmu bercambah iman

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Suatu hari ketika seorang hamba membuka sebuah buku yang membincangkan tentang keimanan, tanpa disengaja tajuk tentang taubat menjadi pilihan. Hatinya bekerja keras untuk menghayati setiap perkataan yang dibaca dan akal berfikir tentang kebenarannya. Akhirnya dia berkata: “Alangkah, jauhnya penyelewengan yang aku lakukan setelah Allah Taala memberi petunjuk suatu masa dahulu.” Tetapi dalam penyesalan itu ada satu kesyukuran yang terbit daripada hidayah Allah, betapa beruntungnya dia mendapat kembali hakikat ilmu yang telah lama hilang daripada jiwa. Memang benarlah perkataan sebahagian ahli makrifah iaitu ketika seseorang berdosa janganlah pula berputus asa tetapi bersyukurlah kerana daripada dosa itu lahir juga penyesalan dan taubat. Kerana dosa juga manusia boleh dekat dengan Allah Taala, dosa itu akan membuatnya menjadi hamba yang cepat bertaubat dan mengakui kelemahan diri dihadapan Allah lalu dia sentiasa berhati-hati dengan segala perbuatannya. Berbanding dengan seseorang yang merasa tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa merasa dirinya betul, sungguh orang seperti ini bertambah jauh dirinya daripada Tuhan akibat kesombongan yang melampau atas nama ilmu dan amal.

Setelah mengalami peristiwa seperti itu, barulah kita sedar betapa kita perlukan ilmu yang membawa kita kepada kefahaman dan penghayatan yang sempurna tentang diri kita, tentang Tuhan dan tabiat dunia fana ini. Hakikat ilmu itu datang dan pergi sehingga Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabat baginda dengan satu perumpamaan, ikatlah ilmu itu kerana ia cepat hilang berbanding unta yang terikat. Maknanya setiap insan mesti menyediakan masa untuk hati dan akalnya berinteraksi dengan ilmu. Sesiapapun yang meninggalkan ilmu dalam masa satu hari saja boleh jadi ia akan mengalami gejala kelalaian hingga kesesatan apabila hal ini berlanjutan sekian lama. Matlamat manusia mencari ilmu ialah untuk mencapai satu keyakinan tentang kebenaran, setelah yakin barulah timbul penghayatan yang membawa kepada ketundukan jiwa.

Ramai orang yang berkata “Tak payah bacalah sebab kami sudah membaca dan mengetahui ilmu ini.” Memang benar kita sudah faham dan tahu tentang hal itu tetapi apakah kita telah mencapai penghayatan yang sempurna, apakah boleh dipastikan ilmu itu sentiasa melekat di hati dan memacu diri kita untuk sentiasa merapati Allah Taala 

Seseorang pasti memahami perbezaan dirinya ketika dia sedang minat membaca atau ketika suka membuang masa. Tentu berbeza keadaan jiwa dan perasaan orang yang suka menelaah, mengkaji dan membahas tentang ilmu dengan orang yang suka termenung mendengar hiburan. 

Mungkin kita perlukan pendedahan tajuk yang sama pada masa-masa tertentu, seperti saat kita sedih di timpa musibah pilihan tajuk tentang sabar dan syukur adalah sesuai kala itu. Kalau rezeki bertambah atau naik pangkat tentu pendedahan tentang alam akhirat mesti lebih difokuskan supaya diri tidak tenggelam dalam nikmat dan tipu daya dunia. Apabila kurang nikmat ibadah, tidak khusyuk dan rasa keras hati eloklah kita ingat tentang ilmu zuhud dan mengingati mati. Namun demikian segala ilmu berpusat pada induknya iaitu Al-Quran dan Hadis, barangsiapa yang menginginkan kesempurnaan ilmu mestilah mendekatkan diri kepada keduanya. 

Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai ahli kitab, Sesungguhnya Telah datang kepadamu Rasul kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya Telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab Itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah ayat: 15-16)
Bagaimana pula halnya dengan orang-orang yang telah mencapai darjat alim yang tinggi? Adakah perlu baginya membaca dan menuntut ilmu lagi selepas kedudukannya? Alangkah baiknya jawapan al-Imam Sufyan Ibn Aiyinah apabila ditanya hal ini: “Siapakah manusia yang paling berhajat dengan ilmu? Beliau berkata: Orang yang paling alim di kalangan mereka. Beliau ditanya lagi: Mengapa begitu? Dijawabnya: Kerana kesalahan orang yang alim itu lebih jahat.”

Orang yang pandai membeza antara yang haq dan batil tetapi dia memilih yang batil kerana hawa nafsunya tentu amat besarlah dosa yang diperolehinya kerana dia telah melanggar larangan Allah bukan kerana jahil tetapi terlalu cerdik sehinggakan akalnya berdolak-dalih untuk menghalalkan apa yang nyata haram di sisi agama. Bukan setakat itu saja dia pula mengajak orang lain melakukan yang sama atas nama kecerdikan dan kewaraan palsu, jelas betapa merbahayanya orang alim yang boleh melakukan kejahatan dengan ilmunya. 

Sungguh pelik, orang yang telah jauh dan dalam ilmunya tentang Allah SWT tetapi sekelip mata boleh berpaling daripada-Nya, orang yang mengenal kejahatan syaitan malah menjadi pengikutnya dan orang yang mengenal tipu daya dunia tetapi rela menjadi hambanya. Disitulah letaknya kelemahan manusia, setinggi mana ilmu didapat namun jika hidayah Allah tidak bersamanya segala kefahaman dan penghayatan itu sia-sia. Di dalam kegairahan menuntut ilmu janganlah dilupa memohon petunjuk dan hidayah Allah Taala semoga ilmu yang didapat bermanfaat untuk agama kita, dunia dan akhirat.

Kerana ilmu yang telah terpahat dalam ingatan dan hati sanubari kita tidak dijamin dapat kekal selamanya melainkan atas kuasa Allah Taala yang maha memberi petunjuk. Dan adakalanya seseorang itu tidak mendapat hidayah daripada ilmu yang dituntutnya, belajar mengaji bertahun-tahun tetapi perangai tak berubah-ubah lagi, akhlak dan ibadatnya masih seperti ketika dia tidak berilmu. Jadi untuk apa letih-letih mencari ilmu jika tiada penghayatan? Ada pula orang yang belajar hanya setakat ilmu taharah saja selama bertahun-tahun diulang-ulang lagi tanpa ada peningkatan. Tak kan nak main air saja, bila lagi masa untuk belajar sembahyang yang khusyuk, memahami doa yang dibaca, belajar tafsir Al-Quran dan hadis? Akhirnya orang ini tak sampai-sampai pada tujuan yang sebenar, hampir tiada peningkatan iman yang ketara. 

Pelbagai kaedah dan cara manusia menuntut ilmu, pada hakikatnya yang terpenting ialah wajib mengikut cara dan kaedah yang dicontohi oleh baginda SAW. Pendedahan tentang dalil-dalil yang kuat hanya bersandar dari Al-Quran dan hadis serta ijma dan qiyas yang disepakati menjadi syarat kebenaran sesuatu ilmu. Adakah jalan yang lebih baik daripada jalan yang pernah Rasulullah SAW tempuhi? Ilmu tanpa dalil yang sahih dan hanya menyandarkan kepada sangkaan-sangkaan dan pendapat yang bertentangan dengannya dianggap sebagai ilmu tertolak. 

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami yang bukan daripadanya maka ia tertolak.” (Hadis riwayat imam Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Terlepas daripada kontradiksi atas setiap isu yang diketengahkan di medan ilmu dan ulama, selayaknya setiap penuntut ilmu memiliki budi pekerti umpama serumpun padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi. Ilmu yang benar pasti melahirkan jiwa hamba. Tiada kata tamat dalam proses mencari ilmu. Al-Imam Ibn Abdul Barri daripada Abu Ghassan, katanya: “Kamu sentiasa menjadi alim selagimana kamu tetap menuntut ilmu apabila kamu merasa cukup maka sesungguhnya kamu telah jahil.” 

Kerana perjalanan mencapai makrifat tentang Allah Taala tiada penghujungnya, jalan ke sana amatlah jauh. Bagaimana mungkin seseorang boleh berkata: “Telah cukup ilmuku dan baik amalanku.” Padahal perkataan itu umpama rantai yang mengikat kakinya ke bumi sehingga dia tidak akan sampai ke destinasi yang dijanjikan Tuhannya.

Sumber :- Drjuanda.com
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam dengan judul Hakikat Ilmu bercambah iman. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://islam4online.blogspot.com/2012/09/hakikat-ilmu-bercambah-iman.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Hakikat Ilmu bercambah iman"

Post a Comment