Tahukah ! Dalam Sujud Syukur Tersembunyi Banyak Hikmah...


Allah S.W.T. selesai menciptakan Jibrail a.s. dengan bentuk yang cantik. Dan Allah S.W.T. menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s. memandang dirinya sendiri daan berkata :

"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?." Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Tidak." Kemudian Jibrail a.s. berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah S.W.T. Dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail a.s. solat, maka Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang Nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku."

Kemudian Jibrail a.s. berkata :
"Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :
"Ya Jibrail, akan Aku berikan Syurga Ma'waa sebagai tempat tinggalmu." 

Kemudian Jibrail a.s. meminta izin kepada Allah S.W.T. untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s. mendapat izin dari Allah S.W.T. maka pergilah Jibrail a.s. dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, maka terbanglah Malaikat Jibrail a.s. selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah S.W.T. lalu ia berkata dalam sujud :

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?" Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh."

Dari beberapa perpuluhan yang telah Kuberikan kepada umat Muhammad S.A.W. terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan." Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha melakukannya. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

1. Allah S.W.T telah menyembunyikan Redha-Nya dalam taat.

2. Allah S.W.T telah menyembunyikan Murka-Nya di dalam maksiat.

3. Allah S.W.T telah menyembunyikan Nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

4. Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

5. Allah S.W.T telah menyembunyikan Solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

6. Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) Hari kiamat di dalam semua hari.

Tahukah ! Khasiat Madu Diakui Oleh Al-Quran dan Sunnah...



Khasiat Madu Berdasarkan Al-Quran dan Sunnah
Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana di dalam al-Quran sendiri telah menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada berbagai penyakit, mahupun kesihatan tubuh badan atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah S.W.T. dengan teratur.


Firman Allah S.W.T. dalam surah an-Nahl :
“Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkannya.” (Surah An-NAhl: 69)


Rasulullaah S.A.W., bersabda :
“Ambillah/pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur’an.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)


Dari hadis tersebut ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi dan vitamin yang kuat. Di samping itu, madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan mampu memberi tenaga dengan cepat.


Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika diamalkan setiap hari akan mencegah daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup.


Dalam al-Qur’an, hadis-hadis yang disebutkan dan amalan perubatan tradisional, madu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Adalah menjadi suatu amalan yang baik menjadikan madu sebagai ubat dan penjaga kesihatan.

Kelebihan Orang Lelaki Yang Ada janggut...


Adakah kita di antara lelaki yang ada menyimpan janggut? Jika ya, itu satu perkara yang baik sekali kerana Rasulullah SAW pun turut menyimpan janggut. Ketahui apakah kelebihan menyimpan janggut.

Jika wanita mementingkan kecantikan dan keserian wajah, lelaki juga tidak terlepas daripada memikirkan perihal yang sama. Cuma menjadi perbezaan antara ‘kecantikan’ wanita dan lelaki adalah janggut. Janggut merupakan aset yang mampu menjadikan seorang lelaki itu kelihatan lebih ‘tulen’. Terdapat pelbagai kelebihan dan kebaikan sekiranya seorang lelaki itu memiliki dan memelihara janggutnya. Antara kelebihan berjanggut adalah :
· Menampakkan kelelakian
· Kelihatan lebih ‘macho’
· Lebih hensem dan berkarisma
· Nampak soleh
· Membezakan lelaki sejati dengan lelaki yang tidak berapa sejati
· Lebih diminati wanita
· Mempunyai manfaat kesihatan
· Mencontohi fizikal tokoh-tokoh pemimpin dahulu.

Namun ianya bukanlah sesuatu yang penting dan perlu di ambil berat malahan seorang lelaki yang berjanggut itu tetap lebih baik kelihatan daripada lelaki yang tidak berjanggut. Utamakan niat anda untuk berjanggut semata-mata ingin mengamalkan sebahagian daripada sunnah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah SAW. Bukan berjanggut kerana mengikut fesyen terkini atau sebagainya.

Antara kata-kata ataupun hadith Baginda Rasulullah SAW yang berkaitan janggut adalah seperti :
“Tipiskanlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari)

“Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Janganlah kamu meniru (menyerupai) orang-orang Majusi (penyembah berhala) kerana mereka itu memotong (mencukur) janggut mereka dan memanjangkan (memelihara) misai (kumis) mereka.” (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja Baginda Rasulullah SAW menyuruh kita agar berjanggut, tetapi melarang kita dari menyerupai orang kafir iaitu dengan memelihara misai dan mencukur janggut mereka. Niatkan memelihara janggut kerana sunnah Rasullullh SAW nescaya anda akan melihat kelebihan dan merasai kebaikan berjanggut.

P-- Walaupun pada pandangan anda atau orang lain ianya nampak tidak cantik namun di sisi Allah SWT ianya sudahpun kelihatan elok dan sempurna. Apa lagi, wahai lelaki mari kita menyimpan sedikit janggut bagi mengikut sunnah rasulullah SAW.

Apakah Hukum Sujud Tilawah?



Sekiranya kita sedang membaca al-Quran dan terjumpa dengan ayat sajadah, kita boleh melakukan sujud tilawah. Hukum sujud tilawah adalah sunat muaakad dan boleh dilakukan dalam solat mahupun di luar solat.

Jika ada perasan, dalam mushaf al-Quran Rasm Uthmani akan terdapat satu simbol sujud tilawah berbentuk seperti kubah. Simbol ini banyak terdapat dalam surah-surah Al-Quran antaranya dalam surah As-Sajadah. Sujud tilawah ini adalah sunat mu’akkad, tidak mengapa ditinggalkan. Jika seseorang membaca ayat sajdah, baik dalam mushaf atau dalam hati, di dalam solat atau di luar solat, hendaklah ia sujud.

Sujud tilawah tidaklah wajib dan tidak pula berdosa bila tertinggal, sebab terdapat keterangan bahwa ketika Umar bin Khattab berada di atas mimbar, ia membaca ayat sajdah dalam surat al-Nahl, lalu ia turun dan sujud.

Tetapi pada Jum’at yang lainnya ia tidak sujud walau membaca ayat sajdah. Lantas ia berkata : “Sesungguhnya Allah tidak mewajibkan kita agar bersujud kecuali jika mahu“. Hal ini disampaikan di hadapan para sahabat.

Juga diterangkan bahwa Zaid bin Tsabit membacakan ayat sajdah dalam surat al-Najm di hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam namun ia tidak sujud, tentu Zaid akan disuruh sujud oleh Nabi jika hal itu wajib.

Dengan demikian, sujud tilawah adalah sunnat mu’akkad, iaitu jangan sampai ditinggalkan walau terjadi pada waktu yang dilarang, setelah Fajar umpamanya, atau ba’da Ashar, sebab sujud tilawah, termasuk sujud yang punya sebab, sama halnya dengan shalat tahiyyatul mesjid atau lainnya.

[Disalin dari buku Fatawa Syekh Muhammad Al-Shaleh Al-'Utsaimin, edisi Indonesia 257 Tanya Jawab, Fatwa-Fatwa Al-'Ustaimin, oelh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, terbitan Gema Risalah Pres, hal. 136-137,146-148 dan 158-159 alih bahasa Prof.Drs.KH Masdar Helmy]

P-- - Kebiasaannya imam masjid akan melakukan sujud tilawah/sajadah ketika waktu subuh di hari jumaat. Hal ini kerana mereka akan membacakan surah As-Sajadah pada waktu tersebut. Jika di luar solat pula, ketika membacanya, boleh terus bersujud menghadap kiblat.

Gambar Seorang Bayi Dibakar...

Zaman Jahiliyah dahulu,orang Arab bunuh anak perempuan hidup2 bukan kerana mereka malu atau tidak sayang tetapi mereka tidak sanggup melihat anak perempuan mereka dirogol depan mata mereka apabila besar nanti.jadi,demi maruah anak dara mereka tercalar biar mati dari kecil.

Sebaliknya zaman moden yang konon bertamadun hari ini,tanpa buang anak tidak kira lelaki perempuan tanpa belas,rasa sayang dek kerana berzina dan lahir anak hasil perhubungan yang haram.inilah malang yang menimpa si kecil yang tidak berdosa sama sekali ini.

Si kecil inilah antara golongan yang dijamin Allah SWT ahli syurga dan pemberi Syafaat.adakah kita akan diberi syafaat mereka jika kita yang bunuh mereka?kembalilah kepada ajaran Islam,jauhilah budaya cinta tanpa batas agama,jauhilah mendedah aurat di khalayak dan jauhilah pergaulan bebas yang akhirnya akan menarik manusia ke dalam lembah perzinaan.

Marilah kita semua Berusaha menegakkan Syariat Islam agar segala kerumitan jenayah yang kian merbahaya ini dapat dibendung dengan keadilan Islam. Sumber

Berapa Cara Selamatkan Diri Dari Melakukan Maksiat


JIKA kita sedar betapa tingginya nikmat Allah yang anugerahkan, nescaya tidak ada satu alasan pun untuk derhaka kepada-Nya.
Sejak bangun daripada tidur sehingga tidur kembali, bahkan dalam tidur itu sendiri, semuanya itu tidak akan dapat dilakukan tanpa kuasa dan izin Allah s.w.t

Apa yang ada pada diri kita mulai dari hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah pemberian Allah. Segala pemberian yang ada di sekeliling kita seperti keluarga, sanak saudara hingga harta benda adalah kurniaan Allah.
Tidak ada satu detik pun yang dijalani oleh seorang hamba dalam kehidupannya di dunia ini, melainkan ia berada di bawah kurniaan dan anugerah Allah.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan apa saja nikmat yang ada padamu, maka dari Allahlah (datangnya).” (Surah An-Nahl ayat 53)
Mengetahui hakikat yang agung ini, apakah yang harus kita lakukan sebagai seorang hamba lemah yang tidak memiliki daya upaya apa pun untuk mewujudkan sesuatu melainkan kerana pertolongan daripada-Nya?
Mengapa kita derhaka kepada-Nya padahal setiap detik kita menikmati pemberian-Nya? Mengapa kita melalaikan-Nya kerana kesombongan kita dengan mengatakan bahawa segala yang kita capai adalah kerana usaha kita belaka.
Seorang lelaki datang kepada Ibrahim bin Adham lalu berkata: “Sesungguhnya aku adalah orang yang banyak melakukan perbuatan dosa, maka nasihatilah aku!
Ibrahim berkata: “Jika kamu mahu menerima lima perkara dariku dan kamu mampu melaksanakannya, maka perbuatan maksiat apa pun tidak akan mencelakakan kamu.”
Maka orang itu berkata: “Apakah itu? Ibrahim berkata: “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka janganlah makan daripada rezeki-Nya!”
Orang itu menjawab: “Jika begitu, dari mana aku makan kerana semua yang ada di bumi ini adalah pemberian-Nya? Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki-Nya ?”
Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang kedua? Ibrahim berkata: “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka janganlah kamu tinggal di bumi-Nya!
Orang itu berkata: “Ini lebih besar dari yang pertama, di mana aku harus tinggal? Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya ?”
Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang ketiga? Ibrahim berkata, “Jika kamu ingin bermaksiat kepada Allah s.w.t maka carilah tempat di mana Allah s.w.t tidak melihatmu!”
Orang itu berkata: “Ke mana aku harus pergi, sedangkan Allah mengetahui semua yang nampak dan tersembunyi?” Ibrahim berkata: “Apakah patut kamu bermaksiat kepada Allah, sedangkan kamu memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya serta Dia melihat apa yang kamu lakukan?
Orang itu menjawab: “Tidak, kemudian apa yang keempat? Ibrahim berkata: “Jika malaikat maut datang untuk mengambil rohmu, maka mohonlah kepadanya: “Berilah aku waktu agar aku dapat bertaubat dan beramal soleh!
Orang itu berkata: “Permohonanku tidak akan dikabulkan dan mereka tidak akan menunda (kematianku). Ibrahim berkata: “Jika kamu tidak dapat menghindar daripada datangnya kematian agar dapat bertaubat dan beramal soleh maka kenapa kamu berbuat maksiat kepada-Nya?
Orang itu berkata: Lalu apa yang kelima? Ibrahim berkata: “Jika di hari kiamat nanti, malaikat penjaga neraka datang untuk mengirimmu ke neraka, maka janganlah kamu menurutinya!
Orang itu berkata: “Mereka tidak akan melepaskanku dan tidak akan mengabulkan keinginanku.” Ibrahim berkata: “Jika demikian, bagaimana kamu berharap dapat selamat?
Orang itu pun berkata: “Cukuplah hal ini bagiku. Sungguh aku memohon ampun kepada Allah s.w.t dan bertaubat kepada-Nya.”
Percakapan di atas adalah sebuah dialog yang dapat menggugat hati kita yang semakin beku dan keras.
Nasihat ulama mulia itu membuktikan semua nikmat di dunia ini adalah anugerah kurniaan daripada Allah. Menyedari hakikat ini, adalah menjadi kewajipan untuk kita sentiasa bersyukur kepada Allah pada bila-bila masa, di mana dan dalam keadaan apa pun.
Syukur kita adalah bentuk nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu benar-benar menyembah-Nya.” (Surah Al-Baqarah: ayat 172)
Sesungguhnya syukur harus dilakukan dengan hati, lisan dan anggota badan. Syukur dengan hati adalah kita me ngakui dan meyakini bahawa apa pun nikmat yang kita peroleh datangnya dari Allah.
Syukur dengan lisan adalah kita selalu membasahi lisan ini dengan zikir dan ucapan syukur kepada-Nya. Syukur dengan anggota badan pula adalah kita menggunakan segala bentuk nikmat yang Dia anugerahkan kepada kita sebagai saranan untuk menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Gunakan nikmat yang diberikan-Nya untuk merealisasikan tujuan utama kita diciptakan, iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t
Sesungguhnya, kebahagiaan tidaklah diukur dengan limpahan harta dunia.
Ketenangan jiwa hanya akan diraih oleh orang mukmin yang selalu bersyukur kepada-Nya. Syukurilah segala nikmat-Nya sekecil apa pun nikmat itu menurut kita, kerana Allah menjanjikan pahala bagi orang yang mahu bersyukur, dan mengancam dengan seksa bagi orang yang kufur.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan ingatlah tat kala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim ayat 7).

Rebut Keistimewaan hari Jumaat


SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya.
Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar ‘Saiyyidul ayyam’ terpahat dalam banyak hadis Rasulullah. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat”. (Hadis riwayat Muslim) Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim) Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.
Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal.” (Hadis riwayat Ahmad) Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah ayat 9) Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Jumu’ah ayat 10) Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah.
Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim) Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik.” (Hadis riwayat Baihaqi) Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) ‘diam’ sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf, ayat 204) Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah).” (Surah al-Mu’minun ayat 52)

Kerana Auratlah Yang Membezakan Kita Dengan Mereka

Bersyukur aku kepada Ilahi kerana masih lagi diberi peluang dan ruang untuk bernafas, meni’mati segala kurniaanNya yang tidak mampu untuk aku beli. Dari kita celik mata hinggalah kita menutup mata, terlalu banyak ni’mat kurniaan Dia kepada kita kan? Selepas bangun dari subuh, aku tidak terus tidur. Sudah menjadi kebiasaan aku tidak akan tidur selepas subuh melainkan mata dan badan ini terlalu letih kerana berjaga untuk membuat tugasan dan assignment di malam hari, barulah aku akan tidur sebentar. Rutin harianku sekiranya tidak kuliah, aku akan mula mengakses internet untuk membaca artikel-artikel yang boleh memberi manfaat. Ketika aku melayari sebuah blog, aku terbaca sebuah entry mengenai penghijarahan seorang wanita yang dari tidak menutup aurat dengan sempurna kepada bertudung labuh. Terkesima aku membacanya. Alhamdulillah.. Hidayah Allah itu datang kepada siapa yang cuba untuk mencarinya. Lalu aku juga teringin untuk berkongsi kisahku kepada kalian.

Sejak aku dibangku sekolah, aku sudah mengetahui tentang aurat wanita itu, bahkan apabila sedang belajar di kelas Pendidikan Islam sekiranya ditanya tentang aurat wanita aku adalah orang yang seringkali memberi jawapan. Tetapi tetap aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Aneh sungguh! Aku masih lagi mengenakan pakaian yang tidak mengikut kehendakNya, masih lagi tidak berstokin dan sebagainya. Pernah juga terdetik di hati ini untuk berubah pada ketika itu apabila melihat kawan yang tertutup rapi menjaga auratnya. Tetapi setiap kali aku cuba berubah, pasti pelbagai persoalan aku fikirkan. Nanti orang kata aku hipokrit lah, nanti kalau bertudung labuh tapi perangai tetap sama macam mana, nanti kalau bertudung labuh dah tak boleh nak “gila-gila” macam dulu, terlalu banyak yang aku fikir. Maka, akhirnya aku tetap begitu.


Kehidupanku diteruskan lagi apabila aku berjaya menempatkan diri di sebuah IPTA di selatan negara. Di sinilah kisah penghijrahanku bermula. Seperti pelajar-pelajar wanita yang lain, apabila ke kuliah aku akan mengenakan pakaian yang “biasa” aku pakai. Jeans, blouse dan tudung. Suatu hari ketika menunggu bas, mataku teralih untuk melihat dua orang mahasiswa di hadapanku. Seorangnya bukan islam dan seorangnya Islam. Lalu, aku mula memerhati. Aku terus menunduk dan melihat apa yang aku pakai dan aku terus mengalihkan pandangan kepada wanita Islam itu. Bertudung labuh, berbaju longgar dan juga labuh, seluarnya juga begitu dan berstokin. Maka timbul satu soalan dalam fikiranku. Sekiranya aku berpakaian seperti mereka yang bukan Islam itu, apakah beza antara aku dengan mereka? Di sepanjang perjalanan, aku hanya diam. Tidak kecoh seperti biasa. Aku mula berfikir. Tiba-tiba teringat kata-kata pensyarahku tempoh hari. Aku berjumpa dengannya untuk bertanya soalan, tapi dia pula yang menanyaku kembali. Sejurus aku memasuki biliknya, soalan pertama dia kepadaku, “You tahu tak kenapa baju yang you pakai ni tak boleh buat solat?”. Aku menjawab dengan nada yang endah tak endah. “Sebab ketat kot”. Betul, jawapan tu katanya. Tapi jawapan yang lebih tepat “sebab pakaian you tu tak boleh buat solat”, katanya lagi.

Aku mula teringat kembali kata-kata ayahku suatu ketika dahulu. “Anak babah cantik tau kalau pakai jubah, pakai longgar-longgar, taknak try ke?” “Kakak tak kesian ke kat babah kalau babah masuk neraka? Kakak pakai macam ni?” Aku mula tersentak! Jiwaku seperti disentap –sentap. Kepalaku masih ligat lagi memikirkan tentang hal ini. Aku seperti orang yang sedang tidur lalu dibangunkan dari lena yang panjang! Aku tidak terus makan pada hari itu, aku terus pulang ke bilik. Aku mula termangu, termenung memikirkan apa yang telah aku lakukan, apa yang telah aku kenakan di sepanjang hidup aku hingga saat ini. Bukan aku tidak tahu tentang aurat wanita itu, tetapi mengapa aku tidak mahu memahaminya? Bukan ayah tidak pernah menasihati aku, tetapi mengapa aku tetap berdegil? Bukan ayah tidak mendidik, mengapa aku tidak menerima untuk dididik? Bukan tiada sahabat yang menegur, mengapa aku tidak mengambil teguran mereka? Aku bukan tiada ilmu tentang ini, tetapi mengapa aku tidak pernah ambil tahu. Aku solat, tapi mengapa aku tidak mengikut pakaian yang disyariatNya? Islam kah aku sekiranya pakaian yang aku kenakan menerupai mereka yang bukan Islam? Air mataku mula mengalir tanpa sedar, memikirkan apa yang aku lakukan disepanjang aku hidup. Apa yang aku kenakan sebelum ini ketika aku melangkah keluar.

Hari demi hari, aku mula untuk memahami dengan lebih mendalam apakah itu aurat wanita dan cuba mempraktikkan. Perlahan-lahan aku mengenakan baju yang longgar dan labuh, bertudung menutupi dada, dan berstokin. Pencarian itu aku teruskan lagi. Aku memerhati mereka yang menjaga auratnya, aku mula membaca artikel-artikel tentang aurat wanita. Al-Quran yang jarang dibuka, aku mula buka. Jika sebelum ini aku membaca tanpa memahami maksud, aku mula mencari terjemahan quran itu. Sehingga lah aku menemukan ayat ini.
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan JANGANLAH MENAMPAKKAN PERHIASANNYA (AURATNYA), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka MENUTUPKAN KAIN KERUDUNG KE DADANYA..” - (Surah An Nur, 24: 31)
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, HENDAKLAH MEREKA MENUTUPKAN JILBABNYA KE SELURUH TUBUH MEREKA”. Yang demikian itu agar mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. - (Surah Al Ahzab, 33: 59)
Nah! Peringatan Allah tentang kewajiban menutup dan memelihara aurat ini telah terwujud sebelum kita dilahirkan lagi. Aku mula memahami betapa berharganya diri kita ini wahai wanita. Aku dapat merasakan sesuatu yang sangat berbeza apabila aku berpakaian begini. Sekiranya sebelum ini aku sering diganggu oleh lelaki, selepas aku berpakaian begini, aku tidak kerap diganggu terutamanya apabila berjalan seorang diri. Aku sudah merasakan selamat apabila berpakaian begini. Alhamdulillah, inilah ni’mat yang paling berharga dalam hidup selain ni’mat Islam dan Iman iaitu ni’mat hidayah. Hidayah takkan datang tanpa kita cari, Allah juga akan memberi hidayah kepada orang yang mencarinya. Bukankah Allah telah berkata Dia akan membantu kita sekiranya kita ingin mencari ilmuNya? Mana mungkin Dia memungkiri janji! Aku mula sedar, kehidupan dunia ini hanya satu persinggahan, hanya sementara. Jangan tertipu dengan fashion akhir zaman. Diri kita ini sangat berharga, lebih berharga dari segala-galanya. Apakah kita suka maruah kita dipermainkan, dipertontonkan pada yang tidak sepatutnya? Setiap yang BERHARGA di muka bumi ini selalu sulit untuk didapatkan, tidak ditemukan berselerakan. Cuba kita perhati, emas dan perak ditemukan di dalam perut bumi, dilindungi berlapis-lapiss dalam tanah. Berlian ditemukan terlindung dan tertutup oleh batuan yang keras. Mutiara ditemukan di dasar laut terlindung oleh cengkerang yang keras. Muslimah, kita ini lebih berharga dari emas, perak, berlian dan mutiara. Kita seharusnya TERLINDUNG. Pakailah jilbab/kerudung/hijab dengan BENAR, bukan untuk membungkus rapat tubuh melainkan untuk menutupi keindahannya hanya untuk yang pantas melihat kita.

Akhir kata dari saya, jangan sesekali malu untuk berubah ke arah kebaikan. Pedulikan saja kata-kata sinis orang. Nanti di akhirat sana, kita yang akan menjawab di depan Tuhan bukan? Ayuh bersama menutup aurat dengan sempurna. Kita mampu mengubahnya!

Pentingnya Akhlak Dalam Islam


Dalam Islam kita diajar supaya sentiasa menjadi orang yang berakhlak mulia. Jika kita mempunyai akhlak yang baik nescaya imej peribadi kita akan dipandang tinggi dan secara tidak langsung kita memuliakan Islam.

Akhlak memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cernaan daripada apa yang tersemat di dalam dirinya. Sebagaimana menurut Al-Ghazali : “Setiap yang ada di dalam hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakkannya adalah berlandaskan kepadanya”.

Maka dengan ini sehinggalah apabila akhlak menjadi sebati di dalam diri ia akan melahirkan tindakan spontan, bergantung kepada nilai akhlak yang ada padanya.
Neraca akhlak mempengaruhi pertimbangan
Neraca akhlak yang sebati di dalam diri manusia akan mempengaruhi pertimbangannya dalam menilai sesuatu perbuatan. Oleh itu, kesahihan dalam pertimbangan ini bergantung kepada sejauh mana kesahihan neraca yang dipegangnya.

Akhlak mencerminkan keimanan
Akhlak adalah cermin keimanan seseorang. Dengan erti kata lain, iman yang sempurna akan memprodukkan akhlak yang mulia atau dengan perumpamaan yang mudah, ibarat pohon yang semata-mata bergantung kepada keelokan akarnya. Sabda Rasulullah S.A.W :
“Di kalangan mu’minin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya”.
Akhlak sebagai simbol tamadun manusia.

Tamadun sesuatu umat adalah terletak kepada sejauh mana penghayatannya dan kemurnian sumber peradabannya. Akhlak adalah sebagai mercu tanda, berjaya atau tidaknya sesuatu umat dalam melakukan proses kemajuan dan pembangunan. Tanpa akhlak nescaya manusia akan berada di lembah kehinaan biarpun kejayaan material yang dicapai sangat menakjubkan. Faktor membelakangkan akhlak jugalah yang menyebabkan sesuatu umat tersebut tidak mencapai ketamadunan yang sebenarnya. Contohnya tamadun barat yang berasaskan oleh ideologi kapitalis dan lain-lain, jatuh satu persatu kerana mengkesampingkan nilai-nilai akhlak.

Akhlak adalah mangkin perubahan
Aspek keluhuran akhlak dan kerohanian perlulah diambil berat serta diberi pemfokusan yang utama dalam melakukan setiap agenda perubahan kepada masyarakat. Ini adalah kerana sebagai mangkin perubahan, sebagaimana yang telah diulas oleh Imam As Syahid Hassan Al-Banna sebagai “tongkat perubahan”. Ini kerana krisis yang dihadapi oleh dunia adalah merupakan krisis kejiwaan dan kerohanian sebelum ianya menjadi krisis ekonomi dan politik.
Begitulah pentingnya akhlak dalam membantu proses perubahan walaupun di saat-saat kritikal seperti dalam medan peperangan. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa keruntuhan akhlak dan moral akan menggagalkan usaha perubahan. Seolah-olah akhlaklah yang menjadi sebagai persiapan dan persediaan dalam menempuh situasi genting perubahan ini. Kita melihat apa yang telah berlaku di Turki ketika kejatuhan Khalifah Uthmaniah, di antara faktor kelembapannya dan kejatuhannya adalah disebabkan keruntuhan nilai akhlak di kalangan pemerintah dan tentera-tenteranya.


P--- Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa akhlaklah merupakan sumber kekuatan yang dapat mengangkat darjat manusia ke tahap yang mulia. Ini kerana seseorang insan itu bukan dilihat berdasarkan tubuh badan atau anggota tetapi ianya dilihat dari segi perlakuan akhlaknya. Melayukini.net

Misteri Piramid Dijawab Dalam Al-Quran Sejak 1400 tahun lalu..


Ramai para saintis sibuk mengkaji bagaimana pada zaman Firaun dahulu mereka berjaya membina piramid yang begitu besar sedangkan teknologi pada ketika itu sanga terbatas.

Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Al-Quran Telah pun Mempunyai Jawapan

Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:

“Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta.”
(Al-Qasas: 38)

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil dari olahan tanah liat.

Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah “Journal of the American Ceramic Society” menegaskan bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram. Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu itu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan manusia.

Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Guy Demortier berkata, “Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat.”

Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, “Piramid Matahari” dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu.

Kaedah tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenali sejak ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun.

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita semua bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, juga dibina dari tanah liat. Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis.

Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pernah pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat yang dipanaskan untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.

Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan tanah liat.

Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.

P-=- Jelas ayat dari al-Quran sendiri telah menunjukkan bagaimana piramid itu dibina dengan menggunakan bahan dari tanah liat. Memang kita sendiri berasa pelik bagaimana zaman dahulu boleh mengangkat batu sehingga beratus-beratus kilogram sedangkan teknologi pada ketika itu jauh beza dengan zaman sekarang.

Sejarah Ringkas Imam Muhammad bin Idris as-Syafi’e


Imam as-Syafi’e lahir di Gaza, Palestin pada tahun 150H/767M. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris as-Syafi‘e. Beliau mempunyai pertalian darah Quraisy dan hidup tanpa sempat melihat ayahnya. Pada umur 10 tahun ibunya membawanya ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas itu beliau tetap berada di sana untuk menuntut ilmu. Di Makkah Imam as-Syafi’e memulakan perguruannya dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, yakni mufti Kota Makkah ketika itu.

Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam Malik bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15 tahun telah pun menghafal keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas. Ketika itu Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kewafatannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Imam as-Syafi’e sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. Imam as-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama kerana beliau telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.

Imam as-Syafi’e dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan beliau berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Imam as-Syafi’e membela dirinya dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun ar-Rashid tertarik kepadanya. Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Imam as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak murid Imam Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Imam as-Syafi’e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, yakni ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.

Pada tahun 188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan di antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan mereka adalah kepada ajaran Imam Malik bin Anas.

Pada tahun 194H/810M, Imam as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk memegang jawatan Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan Imam as-Syafi’e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab: “As-Syafi‘e mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan i’tiqad yang sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang.”

Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada para pengikut Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.

Imam as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika berumur 54 tahun (Hijrah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada sesebuah nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam as-Syafi’e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).