Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)
Suatu hari ketika seorang hamba membuka sebuah buku yang
membincangkan tentang keimanan, tanpa disengaja tajuk tentang taubat
menjadi pilihan. Hatinya bekerja keras untuk menghayati setiap perkataan
yang dibaca dan akal berfikir tentang kebenarannya. Akhirnya dia
berkata: “Alangkah, jauhnya penyelewengan yang aku lakukan setelah Allah
Taala memberi petunjuk suatu masa dahulu.” Tetapi dalam penyesalan itu
ada satu kesyukuran yang terbit daripada hidayah Allah, betapa
beruntungnya dia mendapat kembali hakikat ilmu yang telah lama hilang
daripada jiwa. Memang benarlah perkataan sebahagian ahli makrifah iaitu
ketika seseorang berdosa janganlah pula berputus asa tetapi bersyukurlah
kerana daripada dosa itu lahir juga penyesalan dan taubat. Kerana dosa
juga manusia boleh dekat dengan Allah Taala, dosa itu akan membuatnya
menjadi hamba yang cepat bertaubat dan mengakui kelemahan diri dihadapan
Allah lalu dia sentiasa berhati-hati dengan segala perbuatannya.
Berbanding dengan seseorang yang merasa tidak pernah berbuat dosa dan
sentiasa merasa dirinya betul, sungguh orang seperti ini bertambah jauh
dirinya daripada Tuhan akibat kesombongan yang melampau atas nama ilmu
dan amal.
Setelah mengalami peristiwa seperti itu, barulah kita sedar betapa
kita perlukan ilmu yang membawa kita kepada kefahaman dan penghayatan
yang sempurna tentang diri kita, tentang Tuhan dan tabiat dunia fana
ini. Hakikat ilmu itu datang dan pergi sehingga Rasulullah SAW pernah
menyuruh sahabat baginda dengan satu perumpamaan, ikatlah ilmu itu
kerana ia cepat hilang berbanding unta yang terikat. Maknanya setiap
insan mesti menyediakan masa untuk hati dan akalnya berinteraksi dengan
ilmu. Sesiapapun yang meninggalkan ilmu dalam masa satu hari saja boleh
jadi ia akan mengalami gejala kelalaian hingga kesesatan apabila hal ini
berlanjutan sekian lama. Matlamat manusia mencari ilmu ialah untuk
mencapai satu keyakinan tentang kebenaran, setelah yakin barulah timbul
penghayatan yang membawa kepada ketundukan jiwa.
Ramai orang yang berkata “Tak payah bacalah sebab kami sudah membaca
dan mengetahui ilmu ini.” Memang benar kita sudah faham dan tahu tentang
hal itu tetapi apakah kita telah mencapai penghayatan yang sempurna,
apakah boleh dipastikan ilmu itu sentiasa melekat di hati dan memacu
diri kita untuk sentiasa merapati Allah Taala
Seseorang pasti memahami perbezaan dirinya ketika dia sedang minat
membaca atau ketika suka membuang masa. Tentu berbeza keadaan jiwa dan
perasaan orang yang suka menelaah, mengkaji dan membahas tentang ilmu
dengan orang yang suka termenung mendengar hiburan.
Mungkin kita perlukan pendedahan tajuk yang sama pada masa-masa
tertentu, seperti saat kita sedih di timpa musibah pilihan tajuk tentang
sabar dan syukur adalah sesuai kala itu. Kalau rezeki bertambah atau
naik pangkat tentu pendedahan tentang alam akhirat mesti lebih
difokuskan supaya diri tidak tenggelam dalam nikmat dan tipu daya dunia.
Apabila kurang nikmat ibadah, tidak khusyuk dan rasa keras hati eloklah
kita ingat tentang ilmu zuhud dan mengingati mati. Namun demikian
segala ilmu berpusat pada induknya iaitu Al-Quran dan Hadis, barangsiapa
yang menginginkan kesempurnaan ilmu mestilah mendekatkan diri kepada
keduanya.
Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai ahli kitab,
Sesungguhnya Telah datang kepadamu Rasul kami, menjelaskan kepadamu
banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang)
dibiarkannya. Sesungguhnya Telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan
Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab Itulah Allah menunjuki orang-orang
yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu
pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada
cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke
jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah ayat: 15-16)
Bagaimana pula halnya dengan orang-orang yang telah mencapai darjat
alim yang tinggi? Adakah perlu baginya membaca dan menuntut ilmu lagi
selepas kedudukannya? Alangkah baiknya jawapan al-Imam Sufyan Ibn
Aiyinah apabila ditanya hal ini: “Siapakah manusia yang paling berhajat
dengan ilmu? Beliau berkata: Orang yang paling alim di kalangan mereka.
Beliau ditanya lagi: Mengapa begitu? Dijawabnya: Kerana kesalahan orang
yang alim itu lebih jahat.”
Orang yang pandai membeza antara yang haq dan batil tetapi dia
memilih yang batil kerana hawa nafsunya tentu amat besarlah dosa yang
diperolehinya kerana dia telah melanggar larangan Allah bukan kerana
jahil tetapi terlalu cerdik sehinggakan akalnya berdolak-dalih untuk
menghalalkan apa yang nyata haram di sisi agama. Bukan setakat itu saja
dia pula mengajak orang lain melakukan yang sama atas nama kecerdikan
dan kewaraan palsu, jelas betapa merbahayanya orang alim yang boleh
melakukan kejahatan dengan ilmunya.
Sungguh pelik, orang yang telah jauh dan dalam ilmunya tentang Allah
SWT tetapi sekelip mata boleh berpaling daripada-Nya, orang yang
mengenal kejahatan syaitan malah menjadi pengikutnya dan orang yang
mengenal tipu daya dunia tetapi rela menjadi hambanya. Disitulah
letaknya kelemahan manusia, setinggi mana ilmu didapat namun jika
hidayah Allah tidak bersamanya segala kefahaman dan penghayatan itu
sia-sia. Di dalam kegairahan menuntut ilmu janganlah dilupa memohon
petunjuk dan hidayah Allah Taala semoga ilmu yang didapat bermanfaat
untuk agama kita, dunia dan akhirat.
Kerana ilmu yang telah terpahat dalam ingatan dan hati sanubari kita
tidak dijamin dapat kekal selamanya melainkan atas kuasa Allah Taala
yang maha memberi petunjuk. Dan adakalanya seseorang itu tidak mendapat
hidayah daripada ilmu yang dituntutnya, belajar mengaji bertahun-tahun
tetapi perangai tak berubah-ubah lagi, akhlak dan ibadatnya masih
seperti ketika dia tidak berilmu. Jadi untuk apa letih-letih mencari
ilmu jika tiada penghayatan? Ada pula orang yang belajar hanya setakat
ilmu taharah saja selama bertahun-tahun diulang-ulang lagi tanpa ada
peningkatan. Tak kan nak main air saja, bila lagi masa untuk belajar
sembahyang yang khusyuk, memahami doa yang dibaca, belajar tafsir
Al-Quran dan hadis? Akhirnya orang ini tak sampai-sampai pada tujuan
yang sebenar, hampir tiada peningkatan iman yang ketara.
Pelbagai kaedah dan cara manusia menuntut ilmu, pada hakikatnya yang
terpenting ialah wajib mengikut cara dan kaedah yang dicontohi oleh
baginda SAW. Pendedahan tentang dalil-dalil yang kuat hanya bersandar
dari Al-Quran dan hadis serta ijma dan qiyas yang disepakati menjadi
syarat kebenaran sesuatu ilmu. Adakah jalan yang lebih baik daripada
jalan yang pernah Rasulullah SAW tempuhi? Ilmu tanpa dalil yang sahih
dan hanya menyandarkan kepada sangkaan-sangkaan dan pendapat yang
bertentangan dengannya dianggap sebagai ilmu tertolak.
Sabda Rasulullah SAW lagi: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara
baru dalam urusan kami yang bukan daripadanya maka ia tertolak.” (Hadis
riwayat imam Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Terlepas daripada kontradiksi atas setiap isu yang diketengahkan di
medan ilmu dan ulama, selayaknya setiap penuntut ilmu memiliki budi
pekerti umpama serumpun padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi.
Ilmu yang benar pasti melahirkan jiwa hamba. Tiada kata tamat dalam
proses mencari ilmu. Al-Imam Ibn Abdul Barri daripada Abu Ghassan,
katanya: “Kamu sentiasa menjadi alim selagimana kamu tetap menuntut ilmu
apabila kamu merasa cukup maka sesungguhnya kamu telah jahil.”
Kerana perjalanan mencapai makrifat tentang Allah Taala tiada
penghujungnya, jalan ke sana amatlah jauh. Bagaimana mungkin seseorang
boleh berkata: “Telah cukup ilmuku dan baik amalanku.” Padahal perkataan
itu umpama rantai yang mengikat kakinya ke bumi sehingga dia tidak akan
sampai ke destinasi yang dijanjikan Tuhannya.
Sumber :- Drjuanda.com
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam
dengan judul Hakikat Ilmu bercambah iman. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/09/hakikat-ilmu-bercambah-iman.html. Terima kasih!
Ditulis oleh:
Unknown -
Belum ada komentar untuk "Hakikat Ilmu bercambah iman"
Post a Comment