Solat Itu Dapat Mencegah gejala sosial.. Janji Allah

SETIAP hari kita membaca pelbagai laporan media yang melaporkan mengenai gejala sosial yang seperti tiada pernah ada surutnya.

Salah laku sama dan kejadian banyak terjadi yang membabitkan golongan remaja dan belia. Hal itu menyebabkan kita tertanya-tanya di manakah silapnya dan tidak adakah jalan penyelesaian membantu memulihkan fenomena negatif itu?

Kita perlu kembali kepada asas utama yang membentuk generasi hebat iaitu solat. Hanya generasi yang mantap dan patuh menunaikan solat mampu menjana kehidupan sejahtera.

Islam mengarahkan ibu bapa melakukan tarbiah rohani seawal usia anak mereka dengan bersolat. Pemantauan ketat ibu bapa mengenai tuntutan bersolat akan meninggalkan natijah positif ke atas pembinaan jasmani, rohani, dan emosi anak.


Mengambil contoh usaha yang dijalankan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bersama pelbagai agensi kerajaan lain dalam membasmi gejala ponteng di sekolah perlu diteladani dan dipuji.


Apa yang dilaksanakan ialah mana-mana pelajar yang ponteng sekolah, mereka akan dihimpunkan di surau dan perlu mendirikan solat.

Pendekatan melaksanakan solat itu adalah pendekatan paling berkesan kerana ia mampu memberikan ketenangan serta membawa keinsafan kepada pelajar.

Ketika Majlis Perasmian Program Smart Solat Remaja di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha ada menyentuh kepentingan solat sebagai usaha membendung gejala sosial di kalangan remaja.

Beliau berkata, umat Islam berdepan dengan masalah besar apabila anak muda Melayu Islam terbabit dengan gejala sosial termasuk dadah, merokok, melepak, bohsia, ponteng sekolah dan berzina.

“Kebanyakan mereka yang terbabit menghadapi masalah menunaikan solat. Mereka tidak solat di rumah, apatah lagi di masjid atau surau, dan paling menyedihkan mereka itu tidak pernah melihat ibu bapa bersolat.

“Untuk menangani masalah keruntuhan akhlak adalah melalui pendekatan pendidikan solat,” katanya.

Mendirikan solat mesti dimulakan ketika anak masih kecil dan pemantauan serta penjadualan rutin solat perlu diperhatikan ibu bapa.

Hisyam bin Sa’id menceritakan, “Saya dan beberapa orang lagi pernah menemui Mu’az bin Abdullah bin Hubaib al-Jahni, lalu dia bertanya kepada isterinya;
“Bilakah seseorang anak mula menunaikan solat?” Isterinya menjawab, “Baiklah, ada seorang lelaki dalam kalangan kita yang ingat jawapan Rasulullah, ketika Baginda ditanyakan hal seperti ini. Kata Rasulullah, “Jika seorang anak sudah dapat membezakan antara arah kanan dan kiri, suruhlah dia supaya menunaikan solat.”

Sebagai ibu bapa, mereka perlu peka dalam aspek solat dan menjadikannya sebagai agenda utama membentuk jiwa anak.

Dalam satu kisah yang lain, Abdullah bin Umar al-Khattab memberitahu bahawa Rasulullah pernah mengatakan, “Jika anak-anak kamu semua fasih bercakap, ajarlah mereka kalimah ‘La ilaha ilallah’ dan janganlah kamu semua peduli bila mereka meninggal dunia. Jika tumbuh gigi depan mereka, suruhlah mereka menunaikan solat.” (Hadis riwayat Ibnus Sunni daripada Ibnu Umar).

Pihak sekolah, pengajar pendidikan agama bersama-sama warga pendidik yang lain perlu memperbanyak aktiviti kerohanian seperti mendirikan solat secara berjemaah di surau sekolah.

Mulakan awal sesi pembelajaran dengan berkumpul di surau untuk membaca Surah Yasin, dan mendirikan solat hajat dan solat taubat. Selain itu, kegiatan membaca al-Quran seperti Nahwa al-Quran perlu dihidupkan sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran.

Anak muda yang disirami dengan kegiatan keagamaan seperti bersolat akan membentuk mereka muncul sebagai pelajar berakhlak mulia dan seterusnya mampu menjadi ‘ubat’ terbaik membendung gejala negatif.

Kisah kepekaan seorang ayah terhadap pembinaan akhlak anaknya dapat kita pelajari daripada apa yang pernah dilakukan oleh Khalifah Harun al-Rasyid.

Ibnu Khaldun ada melaporkan di dalam kitabnya, ‘Muqaddimah’, berkata, “Sesungguhnya Harun al-Rasyid ketika menyerahkan anaknya Al-Amin kepada pendidiknya lalu berkata kepada pendidik anaknya itu; “Sesungguhnya Amirul Mukminin menyerahkan penyejuk jiwa dan buah hatinya pada kamu.

Oleh itu, jadikanlah tangan kamu selalu terbuka kepadanya, sedangkan ketaatannya pada kamu adalah kewajipan. Bersikaplah sebagaimana sikap seorang guru yang diharapkan Amirul Mukminin pada anaknya, bacakanlah al-Quran untuknya, fahamkanlah dia syair, ajarkanlah kepadanya sunnah Rasulnya, fahamkanlah dia dengan berbagai kemuliaan, dan laranglah dia untuk ketawa kecuali pada waktu-waktunya, serta jangan sehingga berlalu satu detik pun kecuali kamu memberikan faedah yang bermanfaat untuknya.”
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam dengan judul Solat Itu Dapat Mencegah gejala sosial.. Janji Allah. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://islam4online.blogspot.com/2012/06/solat-itu-dapat-mencegah-gejala-sosial.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Solat Itu Dapat Mencegah gejala sosial.. Janji Allah"

Post a Comment

Arsip Blog