sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia ?

jin muslim

"Seringkali dicanang dan dimomokkan dalam cerita seram yang ditayang di TV bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini memang meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada al-Quran dan hadith.

Walau bagaimanapun ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga para penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan dalam filem mereka.

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata (al-A’raf [7.27]), manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah. Hanya kedua sumber Islam itu sahaja yang mampu menelah dan menembusi alam Jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam Jin perlu terlebih dahulu merujuk kepada kedua sumber Islam supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman atau minda.

Kenyataan yang terlalu umum “ sebaik-baik Jin sejahat-jahat manusia “ secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian Jin Islam yang dipuji Allah dan disebut kisah mereka dalam al-Quran. Mereka ini jugalah generasi awal Jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada bangsa Jin kerana Jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (al-Rahman [55:31-36]).

Generasi awal Jin Islam yang disebut kisah mereka dalam al-Quran ini juga selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama’ hadith iaitu sesiapa sahaja yanag bertemu dan beriman kepada nabi Muhammad SAW. Sekiranya kenyataan tersebut berterusan dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat nabi jauh lebih jahat daripada manusia sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.

Generasi awal Jin ini juga dikitiraf sebagai Rasul atau utusan pendakwah di kalangan mereka. Firman Allah:

Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?) (al-An’am [6:130].

Sudah dimaklumi semua bahawa para Rasul hanya diutus dari kalangan manusia, namun begitu rasul dari kalangan Jin dalam ayat ini dimaksudkan wakil kepada Rasul (yang sebenar) atau para pendakwah dari kalangan Jin yang mendengar bacaan al-Quran yang di baca oleh nabi Muhammad (Tafsir al-Razi). Kisah mereka direkodkan oleh al-Quran, Firman Allah:

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata" (al-Ahqaf [46:29-32]).

Sebuah hadith merekodkan baginda Rasulullah pernah memuji para sahabatnya dari golongan Jin yang begitu sensitive terhadap al-Quran. Baginda pernah membacakan surah al-Rahman dari awal sehingga akhirnya kepada para sahabat. Setelah selesai membaca baginda lalu bersabda: Mengapakah kamu semua (sahabatnya) hanya diam ? Sesungguhnya golongan Jin jauh lebih lebih baik reaksi (jawapan & penerimaan) mereka terhadap ayat ini (Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin? [53:13]-ayat ini berulang sebanyak 31 kali dalam surah al-Rahman). Setiap kali sampai kepada ayat in mereka akan segera menjawab: Tidak ada satupun antara ni’matMu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagiMu sahajalah segala pujian (Sunan al-Tirmidhi & Tafsir Ibn Kathir).

Selain itu, para ulama’ hadith seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal Jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama mereka yang disebut adalah Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah).

Mungkin segelintir pihak yang cuba mempertahankan kenyataan meragukan tersebut akan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan Jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadabannya terhadap manusia. Banyak sekali hasutan, rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadaban tidak hanya berpunca daripada Jin, bahkan ia juga berpunca dari kejahatan manusia sebagaimana firman Allah:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik" (al-Rum [30:41-42]).

Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga pihak yang galak menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian pukul borong sebegini berlaku. Al-Quran sebagai sebuah kitab suci yang maha sempurna menyarankan manusia agar berlaku adil dan tidak mengamalkan pukul borong sembrono dalam banyak ayatnya kerana syurga juga disediakan untuk Jin. Sekiranya sebaik-baik Jin adalah sejahat-jahat manusia, maka semua Jin Islam di dunia ini langsung tidak lagi berpeluang untuk ke syurga. SUMBER
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Ajaib / info Informasi dengan judul sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia ?. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://islam4online.blogspot.com/2012/06/sebaik-baik-jin-adalah-sejahat-jahat.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia ?"

Post a Comment

Arsip Blog